Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ops COVID-19: Lelaki mengaku bersalah halang tugas penjawat awam

Seorang mekanik menjadi individu pertama didakwa kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas pemantauan Ops COVID-19, susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan selama 14 hari mulai 18 Mac lepas. 

Anggaran Waktu Membaca:
Ops COVID-19: Lelaki mengaku bersalah halang tugas penjawat awam

Tukul kayu mahkamah. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 23 Mar 2020 02:15PM Dikemas Kini : 23 Mar 2020 02:20PM

SUNGAI SIPUT: Seorang mekanik menjadi individu pertama didakwa kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas pemantauan Ops COVID-19, susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan selama 14 hari mulai 18 Mac lepas. 

S. Punniamurthy, 33, mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob di sini, hari ini (23 Mac). 

Berdasarkan kertas pertuduhan, Punniamurthy didakwa dengan sengaja menghalang seorang pegawai polis berpangkat DSP menjalankan tugas pemantauan, dengan enggan menunjukkan pengenalan diri di hadapan rumahnya di Persiaran Orkid 8, Taman Orkid, Sungai Siput (U) pada Jumaat lepas, selain menolak pegawai berkenaan ke tepi jalan.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 (S$3,270) atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Jean Siow Chung Hwei memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum, untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Peguam Kebangsaan Nurul Hanis Mohd Zaini yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah  mengenakan hukuman minimum atas alasan tertuduh hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,500 (S$490) sebulan, perlu menjaga ibunya dan tidak pernah disabitkan kesalahan jenayah. 

Majistret Norhabsarina kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 (S$1,600) atau penjara 10 bulan jika gagal membayarnya. 

Sumber : Bernama/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan