Images
  • oman king benjamin netanyahu
    PM Israel, Benjamin Netanyahu (kiri); Raja Oman, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa (Gambar: AFP/RONEN ZVULUN, Fayez Nureldine)

Oman sambut baik pemulihan hubungan Bahrain-Israel

DUBAI: Oman menyambut baik keputusan Bahrain untuk memulihkan hubungan diplomatik dengan Israel dan berharap ia akan menyumbang kepada usaha perdamaian Israel-Palestin, lapor media negara Oman pada Ahad (13 Sep).

Bahrain pada Jumaat menjadi negara Teluk kedua yang menjalin hubungan rasmi dengan Israel setelah Amiriah Arab Bersatu mengambil langkah yang serupa sebulan yang lalu, yang sebahagiannya disebabkan kebimbangan bersama terhadap Iran.

Oman berharap "hala tuju strategik baru yang diambil beberapa negara Arab itu akan menyumbang kepada usaha mewujudkan perdamaian berdasarkan tamatnya pendudukan Israel terhadap Palestin dan pihak Palestin mewujudkan sebuah negara mereka sendiri dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu kotanya," menurut kenyataan negara itu.

Beberapa hari selepas perjanjian UAE-Israel diumumkan pada 13 Ogos, Menteri perisikan Israel berkata bahawa Oman juga mungkin merasmikan pemulihan hubungan dengan negara itu. Meski mengalu-alukan keputusan UAE dan Bahrain itu, Oman sendiri tidak mengulas mengenai pemulihan hubungan negaranya dengan Israel.

Pada 2018 Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengunjungi Oman dan membincangkan inisiatif perdamaian di Timur Tengah dengan pemimpin Oman ketika itu, Sultan Qaboos.

Di wilayah yang bergolak itu, Oman mengekalkan pendirian berkecuali dan menjalin hubungan mesra dengan Amerika Syarikat dan Iran yang bermusuhan.

- Reuters/TQ/tq

Top