Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

NZ tuduh Facebook lembab tangani penstriman; Zuckerberg didakwa 'tidak ikhlas dan jujur'

Pengawal selia privasi New Zealand pada Isnin (8 Apr) menuduh Facebook gagal bekerjasama bagi menangani penstriman menyusuli serangan yang dilancarkan terhadap dua buah masjid di Christchurch.

Anggaran Waktu Membaca:
NZ tuduh Facebook lembab tangani penstriman; Zuckerberg didakwa 'tidak ikhlas dan jujur'

(Gambar: Jorge Silva/Reuters)

Diterbitkan : 08 Apr 2019 08:37PM Dikemas Kini : 08 Apr 2019 08:40PM

WELLINGTON: Pengawal selia privasi New Zealand pada Isnin (8 Apr) menuduh Facebook gagal bekerjasama bagi menangani penstriman menyusuli serangan yang dilancarkan terhadap dua buah masjid di Christchurch.

Pihak berkuasa New Zealand turut menuduh pengasas Facebook Mark Zuckerberg bersikap tidak ikhlas dan jujur berhubung sistem syarikat itu.

Penyerang Christchurch itu menyiarkan secara langsung di Facebook serangan yang dilancarkannya ke atas dua buah masjid pada 15 Mac, dengan video itu tersebar luas meskipun Facebook mendakwa bahawa pihaknya 'dengan pantas' sudah memadamkan video berkenaan.

Pesuruhjaya Privasi New Zealand John Edwards berkata Zuckerberg bersikap 'tidak ikhlas dan jujur' semasa mengatakan bahawa para pelaku memang mencari jalan untuk memintas sistem-sistem Facebook.

"Mereka sebenarnya tidak mempunyai sistem untuk mengesan apa yang berlaku di Christchurch," kata Edwards kepada Radio New Zealand, sambil menambah bahawa kelengahan pada penstriman adalah satu langkah sementara yang wajar dipertimbangkan.

"Malah, saya sudah menanyakan perkara yang sama kepada pihak Facebook pada minggu lalu dan mereka sama ada tidak mempunyai perinciannya atau sengaja tidak mahu mendedahkannya kepada pihak kami."

Pada minggu lalu, Zuckerberg ada mengatakan bahawa usulan untuk melengahkan siaran langsung belum dipertimbangkan meskipun syarikat itu semakin tertekan untuk membasmi perbuatan mengongsi video atau gambar-gambar yang memaparkan keganasan.

Menurut Edwards, rangkaian media sosial perlu segera bertindak dan bersikap bertanggungjawab atas kandungan yang dimuat naik ke laman masing-masing.

"Ini adalah satu masalah global. Apa yang berlaku di Christchurch boleh berlaku di mana-mana saja," tegas beliau.

Australia pada minggu lalu meluluskan undang-undang yang akan menyaksikan para eksekutif media sosial dari firma-firma seperti Facebook atau YouTube dikenakan hukuman penjara jika mereka gagal memadamkan atau menurunkan dengan serta-merta kandungan ganas pelampau.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan