Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

NYT: China gunakan AI untuk kenal pasti Muslim Uighur di merata negara

Pemerintah China sedang menggunakan sistem meluas berpacukan teknologi pengesan wajah untuk menjejak warga minoriti Muslim Uighur di merata negara, menurut laporan New York Times.

Anggaran Waktu Membaca:
NYT: China gunakan AI untuk kenal pasti Muslim Uighur di merata negara

Usaha China menjadi peneraju industri AI dibimbangi sedang digunakan bagi pemantauan ketat (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 16 Apr 2019 12:29AM Dikemas Kini : 16 Apr 2019 12:36AM

HONG KONG: Pemerintah China sedang menggunakan sistem meluas berpacukan teknologi pengesan wajah untuk menjejak warga minoriti Muslim Uighur di merata negara, menurut laporan New York Times.

Beijing sudah lama menerima kritikan meluas atas cara ia memperlakukan masyarakat Uighur di wilayah barat laut Xinjiang, di mana lebih sejuta orang yang kebanyakannya terdiri daripada anggota minoriti Muslim berbahasa Turkic ditahan di kem-kem, menurut anggaran yang ditukil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun menurut laporan Times pada Ahad (14 Apr), teknologi mengecam wajah - yang disepadukan dalam rangkaian meluas kamera pemantau di China - diprogram untuk secara khusus mencari warga Uighur dan menyimpan rekod pergerakan mereka merata China.

Pihak polis dilaporkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyasarkan kaum Uighur di luar Xinjiang, termasuk di bandar-bandar mewah seperti Hangzhou and Wenzhou. Akhbar itu mendakwa sebuah bandar pusat mengimbas penduduk untuk mencari masyarakat Uighur sebanyak 500,000 kali dalam hanya masa sebulan.

Beijing pada 2017 mengumumkan rancangan menjadi peneraju industri AI. Namun terdapat kebimbangan dalam masyarakat antarabangsa bahawa teknologi bijak canggih digunakan bagi tujuan pemantauan ketat polis dalam tahun-tahun kebelakangan ini ekoran ketegangan antara kaum yang menjadi ganas.

Times menukil pakar-pakar yang mengatakan bahawa ini adalah contoh pertama seumpamanya yang diketahui di mana sesebuah pemerintah dengan sengaja menggunakan AI bagi memprofil mengikut bangsa, dengan penggunaan sistem baru semakin meluas merata negara.

Di wilayah tengah Shaanxi, pihak berkuasa dilaporkan "cuba memperoleh sistem kamera bijak tahun lalu yang 'boleh menyokong pengecaman bentuk wajah untuk mengenal pasti ciri-ciri Uighur'".

Menurut Times, Kementerian Keselamatan Awam China tidak menjawab permintaan untuk memberi ulasan.

China menolak dakwaan terdapat penahanan beramai-ramai di Xinjiang. Ia sebaliknya menyatakan bahawa pihaknya menubuhkan pusat latihan pendidikan sebagai sebahagian usahanya menentang fahaman lampau Islam di wilayah itu.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan