Images
  • pisau tikam knife crime
    Gambar hiasan.

Niat minta hutang berakhir dengan kematian

GEORGE TOWN: Seorang lelaki maut selepas ditikam rakannya hanya kerana mangsa mahu menuntut hutang daripada suspek dalam kejadian berhampiran menara jam di hadapan Kompleks Bukit Jambul, pada Ahad (15 Sep).

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu, Encik Mohamad Nurulhudin Ismail, 31 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas ditikam di dada kanan.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa bertemu dengan lelaki itu di kawasan berkenaan untuk membincangkan masalah hutang sebelum berlaku pertengkaran antara mereka sehingga suspek berang bertindak menikam rakannya di dada sebelah kanan.

Akibat tikaman itu, mangsa rebah dan tidak sedarkan diri manakala suspek bersama seorang lagi rakannya bertindak melarikan diri dengan sebuah motosikal.

Suspek yang panik kemudiannya membuang pisau yang digunakannya kira-kira 70 meter dari tempat kejadian, katanya.

Beliau berkata pisau sepanjang kira-kira 28 sentimeter itu ditemui seorang wanita sebelum menyerahkannya kepada polis manakala sarung senjata itu ditemui berhampiran lokasi kejadian.

“Semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan berkenaan mendapati suspek yang berbaju merah menikam mangsa dan terus melarikan diri bersama seorang rakannya,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian dan kes disiasat menurut Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Polis katanya giat mengesan dua lelaki berusia 33 dan 35 tahun itu yang identiti mereka sudah dikenal pasti dan percaya mereka masih bersembunyi di sekitar negeri ini.

- BERNAMA/NA/na

Top