Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

New Zealand bertafakur, azan Jumaat berkumandang

Azan berkumandang di seluruh New Zealand pada Jumaat (22 Mac) diikuti dengan tafakur selama dua minit di serata negara, menandakan genap seminggu sejak seorang pelampau ketuanan kulit putih menembak mati 50 jemaah dua masjid di bandar Christchurch.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Mar 2019 11:06AM Dikemas Kini : 22 Mar 2019 10:39PM

CHRISTCHURCH: Azan berkumandang di seluruh New Zealand pada Jumaat (22 Mac) diikuti dengan tafakur selama dua minit di serata negara, menandakan genap seminggu sejak seorang pelampau ketuanan kulit putih menembak mati 50 jemaah dua masjid di bandar Christchurch.

Sedang azan dilaungkan pada 1.30 tengah hari (waktu tempatan) merata negara, ribuan warga - termasuk Perdana Menteri Jacinda Ardern - berdiri dengan penuh hormat di sebuah taman di hadapan masjid di mana pembunuhan itu bermula. 4.5 juta penduduk New Zealand turut bersama-sama bertafakur.

Pembunuhan beramai-ramai oleh suspek Brenton Tarrant mengejutkan negara yang terkenal dengan sifat toleransinya.

Warga New Zealand bertindak balas dengan mengadakan acara-acara memperingati mangsa, mempersembahkan haka tradisional puak Maori dan membentuk barisan melindungi masyarakat Islam semasa mereka bersolat.

Tepat 1.30 tengah hari azan berkumandang di hadapan ribuan warga di Hagley Park berhadapan Masjid Al Noor.

New Zealand bertafakur selama dua minit, termasuk di perhimpunan beramai-ramai di Auckland, Wellington dan bandar-bandar lain.

Para penduduk di negara jiran, Australia, turut berhenti sejenak untuk sama-sama bertafakur.

Imam Masjid Al Noor Gamal Fouda, kemudian menyampaikan khutbah untuk mengutuk kebencian dan pada masa yang sama memuji sifat perpaduan di kalangan warga New Zealand menyusuli pembunuhan itu.

"Hari ini, di tempat yang sama, saya melihat kasih sayang dan belas ihsan," kata beliau.

"Pengganas itu cuba memecah-belahkan kita dengan ideologi jahat yang telah memecah-belahkan dunia. Namun sebaliknya, kita menunjukkan bahawa New Zealand tidak boleh dipecah belah."

Beliau yang merupakan salah seorang mangsa yang terselamat daripada serangan itu berterima kasih kepada penduduk New Zealand dan Perdana Menteri Arden kerana menunjukkan bahawa penduduk Islam di situ tidak dilupakan dan merupakan sebahagian daripada mereka.

Selama ibadah berlangsung, wanita yang datang memakai hijab sebagai tanda perpaduan dengan masyarakat Islam New Zealand.

Mangsa serangan ganas Jumaat lalu meragut 50 nyawa berusia antara tiga dengan 77 tahun - majoritinya pendatang atau pelarian dari Pakistan, India, Malaysia, Indonesia, Turki, Somalia, Afghanistan dan Bangladesh.

Puluhan lagi yang cedera masih dirawat di hospital.

Perhimpunan hari ini berlangsung sehari selepas New Zealand mengisytiharkan pengharaman ke atas senjata separa automatik jenis tentera, mengotakan janji untuk menghapuskan jenis senjata yang digunakan dalam serangan Jumaat lalu.

Perkabungan negara dan sesi bertafakur itu disiarkan di pelbagai wadah termasuk rangkaian televisyen, radio dan beberapa laman setempat.

"Kami amat berbesar hati solat ini disiarkan ke seluruh dunia jadi semua boleh menyertainya," kata presiden Persekutuan Persatuan Islam New Zealand, Mustafa Farouk. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan