Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

New Delhi "sambut baik" langkah Pakistan bebaskan juruterbangnya

New Delhi menyambut baik keputusan Pakistan untuk membebaskan juruterbang Tentera Udara India yang ditahan di negara itu dan meminta Turki supaya memainkan peranan menggesa Pakistan "menamatkan keganasan rentas sempadan".

Anggaran Waktu Membaca:
New Delhi "sambut baik" langkah Pakistan bebaskan juruterbangnya

India menyambut baik keputusan Pakistan membebaskan juruterbang Tentera Udara India. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 01 Mar 2019 10:09PM Dikemas Kini : 01 Mar 2019 10:15PM

ANKARA: New Delhi menyambut baik keputusan Pakistan untuk membebaskan juruterbang Tentera Udara India yang ditahan di negara itu dan meminta Turki supaya memainkan peranan menggesa Pakistan "menamatkan keganasan rentas sempadan".

Duta India ke Turki, Sanjay Bhattacharyya, berkata demikian kepada agensi berita Anadolu ketika diajukan pelbagai pertanyaan berhubung krisis terbaru itu.

"Kami sambut baik inisiatif Perdana Menteri (Pakistan) untuk membebaskan juruterbang India. Itulah yang diharapkan kami semua," kata Encik Bhattacharyya.

"Ia juga selari dengan Konvensyen Geneva. Kami gembira Pakistan mematuhi komitmen antarabangsanya."

Pada masa yang sama, India turut mengalu-alukan pendekatan positif dan berhati-hati Turki terhadap krisis itu dan "amat menghargai kenyataan Kementerian Luar dan sentimen Turki", ujar Encik Bhattacharyya.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu, berkata pada Rabu (27 Feb) bahawa Ankara sentiasa bersedia membantu apa yang perlu bagi meredakan ketegangan antara Pakistan dengan India.

Mengulas mengenai perbualan telefon antara Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Khamis (28 Feb), Encik Bhattacharyya berkata India dan Pakistan mempunyai perjanjian di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk menghuraikan masalah hubungan dua hala.

"Turki sudah tentu rakan baik kepada India dan Pakistan. Turki juga mengalami isu keganasan rentas sempadan. Kami harap negara itu akan memainkan peranan penting," tambah Encik Bhattacharyya.

Sementara itu, duta besar Pakistan ke Turki, Muhammad Syrus Sajjad Qazi, berkata pelawaan menjadi pengantara bukan sahaja bertujuan untuk membantu Pakistan dan India menamatkan kebuntuan, malah ia bagi mempercepatkan lagi usaha mewujudkan keamanan di rantau berkenaan.

Beliau menyifatkan Turki sebagai "sahabat dan saudara" Pakistan, sambil mengesahkan bahawa juruterbang yang ditahan itu akan dibebaskan pada Jumaat (1 Mac).

Beliau turut mengingatkan jika kedua-dua negara tersalah perhitungan, akibatnya amat buruk sekali. Oleh itu, kedua-dua pihak perlu berbincang bagi mencari huraian terbaik.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan