Netflix gugurkan episod komedi sindir Arab Saudi
Netflix sudah menguggurkan satu episod daripada rancangan komedi satira yang mengkritik Arab Saudi selepas ia menerima aduan daripada para pegawai negara itu, sekaligus menimbulkan tanda tanya mengenai had kebebasan online, menurut laporan Financial Times semalam (1 Jan).
WASHINGTON: Netflix sudah menguggurkan satu episod daripada rancangan komedi satira yang mengkritik Arab Saudi selepas ia menerima aduan daripada para pegawai negara itu, sekaligus menimbulkan tanda tanya mengenai had kebebasan online, menurut laporan Financial Times semalam (1 Jan).
Akbar itu melaporkan bahawa syarikat khidmat penstriman berkenaan sudah menggugurkan satu episod daripada rancangan "Patriot Act with Hasan Minhaj" di Arab Saudi selepas Suruhanjaya Teknologi Perhubungan dan Penerangan menyatakan syarikat itu melanggar undang-undang jenayah siber negara itu.
Dalam episod berkenaan, Minhaj mengecam Arab Saudi menyusuli pembunuhan penulis ruangan Washington Post Jamal Khashoggi di konsulat Saudi di Istanbul.
Selain mengkritik Putera Mahkota Mohammed bin Salman, Minhaj juga mengkritik operasi ketenteraan yang diterajui Arab Saudi di Yaman.
Pada Disember lalu, Senat Amerika Syarikat meluluskan dua ketetapan simbolik yang menyalahkan Putera Mahkota Mohammed atas pembunuhan tersebut berdasarkan hasil laporan risikan dan menggesa Amerika Syarikat supaya menarik diri daripada konflik di Yaman.
'AGAK MENGEJUTKAN'
Karen Attiah, seorang editor di The Washington Post, menulis di Twitternya bahawa tindakan Netflix itu "agak mengejutkan".
Kementerian Perhubungan Saudi dan Netflix tidak memberi sebarang respons mengenai langkah tersebut.
Bagaimanapun akhbar Financial Times menyatakan Netflix mempertahankan keputusannya dengan menyatakan: "Kami amat menyokong kebebasan artistik di seluruh dunia dan hanya menggugurkan episod di Arab Saudi selepas kami menerima permohonan undang-undang yang sah - dan supaya mematuhi undang-undang tempatan."
Episod itu masih boleh ditonton di negara-negara lain di dunia, manakala rakyat Arab Saudi pula boleh menontonnya di laman YouTube.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.