Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nepal longgarkan peraturan kuarantin COVID-19 jelang musim daki Everest

Nepal melonggarkan peraturan kuarantin bagi pelawat dalam satu usaha menarik lebih ramai pendaki ke Gunung Everest, menurut para pegawai pada Jumaat (26 Mac), selepas musim pendakian tahun lalu terjejas dek pandemik COVID-19 sekaligus memusnahkan industri pelancongan negara itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Nepal longgarkan peraturan kuarantin COVID-19 jelang musim daki Everest

Nepal melonggarkan peraturan kuarantin bagi pelawat untuk menarik lebih ramai pendaki ke Gunung Everest. (Gambar: AFP/PRAKASH MATHEMA)

Diterbitkan : 26 Mar 2021 09:00PM Dikemas Kini : 26 Mar 2021 09:03PM

KATHMANDU: Nepal melonggarkan peraturan kuarantin bagi pelawat dalam satu usaha menarik lebih ramai pendaki ke Gunung Everest, menurut para pegawai pada Jumaat (26 Mac), selepas musim pendakian tahun lalu terjejas dek pandemik COVID-19 sekaligus memusnahkan industri pelancongan negara itu.

Para pelawat akan diuji ketika mereka tiba dan hanya perlu menjalani kuarantin sehingga keputusan ujian mereka negatif, di bawah satu dasar yang diumumkan pada Khamis malam (25 Mac).

"Kami menjangkakan pendaki yang menangguhkan ekspedisi atau lawatan mereka akibat peraturan-peraturan ketat ini datang ke Nepal selepas keputusan ini," kata Mira Acharya, pengarah di jabatan pelancongan negara itu.

Sebelum ini, para pelawat harus menjalani kuarantin selama tujuh hari.

Mereka bagaimanapun tetap harus memberi bukti vaksinasi atau keputusan negatif COVID-19 sebelum tiba di negara itu.

Menurut presiden Persatuan Pengendali Ekspedisi Nepal, Encik Dambar Parajuli, keputusan tersebut "membuka pintu bagi pemulihan sektor pelancongan".

"Ia menyampaikan mesej yang positif. Penempahan di saat-saat akhir tidak mungkin berlaku tetapi ia akan membantu dalam jangka masa yang panjang," katanya.

Sejauh ini, Nepal sudah pun mengeluarkan 45 permit bagi pendakian di pelbagai gunung di Himalaya dan sekitar 300 pendaki asing dijangka akan berada di Everest, gunung paling tinggi di dunia.

Bahagian Tibet di Everest terus ditutup kepada pelawat asing tahun ini, dan ini mungkin menambah lebih ramai pendaki di bahagian Nepal.

Penganjur ekspedisi sedang bersiap sedia di Kathmandu dan beberapa pendaki sudah pun memulakan pendakian ke kem mereka.

Pandemik COVID-19 memaksa Nepal untuk menutup sempadannya sebelum bermulanya musim mendaki gunung yang sibuk tahun lalu.

Ia menjejas teruk ratusan orang di Nepal - daripada pemandu pelancong kepada pemilik hotel - yang bergantung kepada industri pendakian bagi mata pencarian mereka.

Sebelum pandemik melanda, Nepal bergelut dengan masalah mengawal jumlah pendaki ke puncak gunung Everest, dengan akibat yang kadangkala boleh membawa maut.

Pada 2019, jumlah pendaki mencecah rekod 885 orang yang mendaki sehingga ke puncak gunung, 664 daripada mereka dari Selatan dan 241 daripada mereka dari bahagian utara di Tibet.

Musim tersebut berakhir dengan 11 kematian, sekurang-kurangnya empat disebabkan kesesakan di puncak gunung. 

Sumber : AFP/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan