Images
  • GPE
    Presiden Senegal Macky Sall dan Presiden Perancis Emmanuel Macron tiba di Dakar. (Gambar: PHILIPPE WOJAZER/AFP)

Negara penderma tawar lebih S$3 bilion bagi pertingkat pendidikan kanak-kanak miskin

DAKAR: Negara-negara penderma mengumumkan semalam (3 Feb) mengenai dana AS$2.3 bilion (S$3 bilion) bagi membantu pendidikan di negara-negara membangun menyusuli satu mesyuarat antarabangsa di ibu kota Senegal, Dakar.

Kerjasama Global bagi Pendidikan (GPE) yang menghimpunkan penderma, pertubuhan antarabangsa dan sektor privet menyifatkan jumlah tersebut sebagai “peningkatan yang ketara” berbanding AS$1.3 bilion (S$1.7 bilion) yang disumbangkan sepanjang tiga tahun lalu.

Negara-negara membangun turut menyatakan bahawa ia akan meningkatkan perbelanjaan awam untuk pendidikan bagi tempoh dari 2018 hingga 2020 kepada jumlah keseluruhan sebanyak AS$110 bilion (S$145 bilion) berbanding AS$80 bilion (S$105 bilion) bagi tempoh tiga tahun sebelum ini.

“Saya berbesar hati dengan sikap murah hati dan tekad yang ditunjukkan hari ini untuk memastikan setiap kanak-kanak dan orang muda mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti,” kata mantan Perdana Menteri Australia Julia Gillard yang mempengerusikan lembaga GPE.

“Selepas komitmen hari ini, kami melihat trend yang jelas untuk menangani krisis pendidikan global dengan serius,” tambahnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menyusuli rundingan di Dakar yang berakhir pada Jumaat (2 Feb).

- AFP/SM/sm

Top