Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nazri minta CAAM ambil tindakan terhadap Mahathir

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta Penguasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengambil tindakan undang-undang terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anggaran Waktu Membaca:
Nazri minta CAAM ambil tindakan terhadap Mahathir

Dr Mahathir dan Nazri Aziz. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 May 2018 08:01AM Dikemas Kini : 01 May 2018 08:12AM

KUALA KANGSAR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz meminta Penguasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengambil tindakan undang-undang terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad kerana berbohong dengan mendakwa jet peribadinya cuba disabotaj.

Beliau berkata tuduhan Dr Mahathir itu serius dan bukan main-main kerana ia boleh menjejaskan imej industri penerbangan Malaysia dan keyakinan dunia terhadap keselamatan pengangkutan negara.

”Kalau ada tuduhan sabotaj terhadap sesebuah kapal terbang, kapal terbang itu perlu diletakkan di kawasan yang dikawal untuk memastikan perkara sabotaj tidak berlaku kerana ia boleh menjejaskan keyakinan dunia kepada pengangkutan awam,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Perpustakaan Desa Kampung Kota Lama Kanan semalam (30 Apr).

Pada dua hari lalu, Pengerusi CAAM Datuk Seri Azharuddin A Rahman mengesahkan bahawa pesawat Bombardier Challenger CL60 yang dikendalikan Syarikat Vista Jet Limited itu tidak dapat berlepas menuju ke Langkawi kerana tayar bahagian kiri pesawat bocor.

Kenyataan itu menepis dakwaan Dr Mahathir yang mengatakan pesawat berkenaan yang sepatutnya berlepas dari Lapangan Terbang Subang ke Langkawi pada 27 April lalu disabotaj untuk menghalangnya daripada menyerahkan borang penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan Dr Mahathir menyatakan pesawat peribadinya disabotaj sebagai sandiwara.

“Sandiwara itu juga bukan sesuatu yang baru kerana Dr Mahathir sememangnya sudah mempunyai rekod tidak akan mengakui kesilapan sendiri, sebaliknya akan terus meletakkan kesalahan kepada orang lain. Beliau akan terus membuat gimik-gimik politik supaya orang bersimpati,” kata beliau.

Bercakap kepada wartawan selepas meninjau pelaksanaan projek Jambatan Kampung Seberang Guai di Bera, Datuk Seri Ismail Sabri yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bera turut mempersoalkan tindakan Dr Mahathir menggunakan pesawat peribadi dan tidak menggunakan pesawat komersil.

"Ini seolah-olah kedudukannya terlalu tinggi sehingga tidak boleh lagi menaiki pesawat komersil,” kata beliau.

MAHATHIR DIMINTA BERI MAKLUMAT TAMBAHAN

Di Bentong, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata bahawa Dr Mahathir masih dialu-alukan untuk memberikan maklumat tambahan kepada polis untuk membantu siasatan sekiranya masih berkeras bahawa pesawat itu disabotaj.

Beliau berkata walaupun laporan awal CAAM dikeluarkan semalam mendapati bahawa insiden seperti yang didakwa Dr Mahathir itu tidak berlaku, kementerian bersedia melakukan siasatan lanjut sekiranya beliau memberikan bukti bagi menyokong tuduhannya.

“Pesawat itu telah mengalami masalah teknikal malah sebelum berlepas dari Singapura… ini kerana isipadu udara dalam tayar sudah rendah semasa di Singapura lagi, semasa mendarat di Subang dan mereka cuba mengisi udara dalam tayar itu… malangnya tidak dapat dilakukan dan mereka perlu tukar tayar.

“Tetapi pada hari berkenaan mereka tidak sempat menyiapkan kerja menukar tayar itu, oleh itu, sebab pesawat tidak boleh berlepas merupakan masalah teknikal,” kata beliau.

Datuk Seri Liow yang merupakan presiden MCA ditemui para wartawan ketika berkempen untuk mempertahankan kerusi Parlimen Bentong. Beliau berkata bahawa tuduhan itu adalah serius kerana ia melibatkan keselamatan pesawat dan penumpang.

“Jadi kita rasa terkilan dan kecewa bahawa Dr Mahathir cuba eksploitasi isu ini menjadi satu isu politik… gunakan taktik ini untuk menyalahkan kerajaan atau menyalahkan orang lain dan mendakwa mereka mahu mensabotaj dan cuba membunuhnya,” kata beliau.

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan