Najib tangguhkan retreat pemimpin S’pura-M’sia; perlu hadiri sidang khas OIC
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berkata bahawa beliau akan menghadiri satu mesyuarat khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul minggu depan untuk menyuarakan bantahan Malaysia terhadap Amerika Syarikat yang mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berkata bahawa beliau akan menghadiri satu mesyuarat khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul minggu depan untuk menyuarakan bantahan Malaysia terhadap Amerika Syarikat yang mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.
Beliau semalam (9 Dis) berkata bahawa Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan sudahpun menghubunginya pada Rabu lalu (6 Dis) untuk memohon kehadirannya bagi mesyuarat itu. PM Najib juga berkata bahawa beliau akan menunda retreat tahunan pemimpin Singapura-Malaysia untuk menghadiri mesyuarat itu dan menambah beliau sudahpun memaklumkannya kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Seorang jurucakap daripada Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) mengesahkan semalam bahawa Retreat Pemimpin Singapura-Malaysia yang ke-8 ditunda “atas permintaan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak”.
Berucap kepada wakil-wakil parti UMNO, PM Najib berkata bahawa pengumuman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang mengiktiraf Bailtulmakdis sebagai ibu kota Israel melanggar prinsip kedaulatan.
“Kami boleh bekerjasama dalam pelbagai bidang, tetapi dalam hal ini, kami berpendirian teguh bahawa ia langsung tidak boleh diterima,” tegas beliau.
“Bukan sahaja Muslim tetapi penganut Kristian juga tidak setuju dengan pengumuman itu, termasuk negara-negara barat.”
Timbalan Perdana Menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi juga berkata bahawa PM Najib akan mewakili Malaysia di mesyuarat OIC untuk “membincangkan isu Palestin”.
Beliau akan “membawa obor dan suara UMNO, iaitu suara rakyat Malaysia untuk memaparkan sokongan padu terhadap para penduduk Palestin”, kata Encik Zahid.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.