Images
  • najib razak
    Gambar: Najib Razak/Facebook

Najib saran 'circuit breaker' di negeri catat peningkatan kes COVID-19

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak mencadangkan kerajaan negara itu melaksanakan 'circuit breaker' atau 'lockdown' ketat dan singkat antara lima hingga tujuh hari di sesebuah negeri yang mencatatkan peningkatan kes COVID-19.

Katanya, ekonomi tidak akan dapat dipulihkan selagi negara tidak mampu mengawal COVID-19, lapor Astro Awani.

"Sekiranya kes meningkat semula sehingga kadar jumlah katil di ICU melebihi 85 peratus bagi mana-mana negeri, saya cadangkan sekatan pemutus litar, dengan izin 'circuit breaker' atau 'lockdown' paling ketat dan singkat selama antara lima hingga tujuh hari sahaja dengan jaminan ia tidak akan dilanjutkan.

"Jangan lagi dibuat lockdown berbulan-bulan lamanya... tetapi kita juga perlu terus mengawal keadaan COVID-19 di Malaysia dan kesihatan rakyat," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu (15 Sep).

Ahli Parlimen Pekan itu berkata pelaksanaan 'lockdown' selama empat bulan empat hari sebelum ini yang bermula pada 12 Mei lalu adalah satu tempoh yang begitu panjang dan adalah sukar untuk perniagaan bertahan begitu lama.

Astro Awani melaporkan bahawa menurut Encik Najib, peluang untuk melaksanakan 'total lockdown' yang amat ketat seperti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu sudah berlalu apabila ia disia-siakan oleh kerajaan sebelum ini yang melaksanakan PKP 2.0 dan PKP 3.0 yang disifatkan separuh masak.

Beliau berkata, dengan kelonggaran dan pembukaan semula ekonomi baru-baru ini, kemungkinan keadaan COVID-19 akan bertambah parah.

- Agensi berita/SM/sm

Top