Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib rai hari lahir bersama keluarga mangsa MH17

Najib luahkan rasa terharu akan sokongan yang diterimanya

Anggaran Waktu Membaca:
Najib rai hari lahir bersama keluarga mangsa MH17

(Gambar: Lum Chee Hong/Malaysiakini)

Diterbitkan : 22 Jul 2018 03:37PM Dikemas Kini : 22 Jul 2018 03:39PM

KUALA LUMPUR: Walaupun mantan Perdana Menteri Najib Razak masih bergelut dengan siasatan ke atasnya berhubung skandal 1MDB, Najib tidak lupa untuk menyambut hari jadinya yang ke-65, malam semalam (21 Jul).

Menurut laporan Malaysiakini, ulang tahun itu yang disambut dua hari lebih awal dari tarikh lahir beliau yang sebenar diadakan di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur dan dihadiri sekitar 100 anggota keluarga serta rakan-rakan.

Sambutan itu juga adalah sempena memperingati seramai 283 penumpang dan 15 kakitangan pesawat yang terkorban dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17, pada 17 Julai 2014.

Majlis dimulakan dengan bacaan yasin dan solat hajat di surau kediaman beliau di tingkat bawah, disusuli dengan solat Maghrib and Isyak, lapor Malaysia Kini.

Hadirin kemudian diajak naik ke tingkat anjungan tingkat atas untuk menjamu pelbagai juadah, termasuk hidangan laksa Johor dan kuih-muih tradisional sambil dihiburkan dengan persembahan ghazal.

Selain itu, majlis juga mempunyai tiga buah kek dengan salah satunya menyerupai sebuah beg golf dihiasi patung mini mirip Najib, serta dua pulut kuning.

Majlis itu turut dihadiri oleh ibu beliau, Rahah Mohammad Noh dan isterinya, Rosmah Mansor.

Malaysiakini melaporkan bahawa menerusi ucapannya Najib meluahkan rasa terharu dengan kesudian tetamu dari seluruh negara yang datang meraikan ulang tahun kelahirannya.

“Saya menghargainya (sambutan ini), untuk meraikan majlis istimewa ini dengan menggunakan perbelanjaan anda sendiri untuk menghadirinya dan turut menyumbang kepada majlis ini.

“Kehadiran anda di majlis ini bukan kerana saya dalam kerajaan tetapi kerana anda masih percaya dan sokong saya,” kata beliau.

Berkenaan tragedi MH17, Najib berkata beliau memainkan peranan sebagai perdana menteri dan berharap kerajaan baru akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab atas nahas itu.

“Kita berharap kuasa (sedia ada) akan meneruskan langkah ini dan memastikan keadilan dilaksanakan dan lihat ia telah dilakukan,” katanya.

17 Julai lalu adalah ulang tahun keempat kejadian yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan kakitangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Laporan Reuters pada Mei lalu, memetik ketua siasatan jenayah polis Belanda yang mengesahkan MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu tentera Rusia.

Kementerian Pertahanan Rusia bagaimanapun menafikan pihaknya terlibat dalam nahas berkenaan.

Sumber : Agensi berita/HS/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan