Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib pertahan belanja RM3.3 juta sehari di butik barang kemas Itali

Bekas perdana Najib Razak mempertahankan perbelanjaan RM3.36 juta (S$1.11 juta) daripada dua kad kredit miliknya di De Grisogono, butik barang kemas mewah, di Itali pada 2014.

Anggaran Waktu Membaca:
Najib pertahan belanja RM3.3 juta sehari di butik barang kemas Itali

Gambar fail mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 16 Jul 2019 11:03AM Dikemas Kini : 16 Jul 2019 11:08AM

KUALA LUMPUR: Bekas perdana Najib Razak mempertahankan perbelanjaan RM3.36 juta (S$1.11 juta) daripada dua kad kredit miliknya di De Grisogono, butik barang kemas mewah, di Itali pada 2014.

Menurut Encik Najib perbelanjaan itu untuk membeli cenderahati buat keluarga diraja dari sebuah negara, lapor Malaysiakini.

"Perbelanjaan itu adalah untuk hadiah kepada ahli kerabat raja kanan sebuah kerajaan serta rombongan mereka yang mempunyai hubungan baik dengan negara kita," katanya menjelaskan kerajaan tersebut bukan Arab Saudi atau Abu Dhabi.

Malaysiakini melaporkan bahawa bekas presiden Umno itu turut menjelaskan keluarga diraja negara yang tidak dinamakan itu menemani beliau dan keluarganya pada lawatan ke Itali pada waktu itu.

"Mereka sekeluarga serta rombongannya bersama kita dalam lawatan kita sekeluarga ke Itali masa itu.

"Ia adalah kebiasaan untuk memberi hadiah kepada pemimpin kerajaan lain.

"Biasanya kerajaan yang akan tanggung kos hadiah (seperti PM ke-4 bagi hadiah besar untuk rumah peribadi Presiden Robert Mugabe dari Zimbabwe dahulu) tapi kali ini, saya bayar dengan kad kredit saya," kata Encik Najib.

Encik Najib yang kini pengerusi Lembaga Penasihat BN menegaskan kad kredit itu didaftar atas namanya dan bukan di bawah SRC International Sdn Bhd, menurut Malaysiakini lagi.

Semalam, media melaporkan terdapat sepuluh transaksi perbelanjaan melalui kad kredit dibuat dalam masa sehari di butik barang mewah emas itu.

Perkara tersebut didedahkan oleh Naib Presiden Kanan Ambank yang bertanggungjawab bagi kelulusan kad dan pengurusan penipuan kad Encik Yeoh Eng Leong, 58 tahun, pada hari ke-37 perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta (S$14 juta).

Kata Encik Yeoh, dua kad kredit itu mempunyai had sebanyak RM3 juta (S$0.99 juta).

Dalam satu catatan di Facebook, Encik Najib berkata RM3.36 juta (S$1.11 juta) itu merupakan perbelanjaan terbesarnya menggunakan dua kad kredit itu yang menurutnya jarang-jarang digunakan.

"Walaupun saya selalu dituduh beli ini dan beli itu, fakta di mahkamah menunjukkan inilah perbelanjaan paling besar untuk kredit kad saya.

"Seluruh had kredit RM3 juta (S$0.99 juta) itu sudah digunakan dalam satu hari pada 8 Ogos, 2014," katanya.

Penerima hadiah itu, jelas Encik Najib, malahan menulis surat bertarikh 15 Ogos 2014 menzahirkan penghargaan kepadanya kerana pemberian cenderahati tersebut.

Encik Najib turut menyertakan gambar surat itu pada hantarannya, dengan nama penerima hadiah berkenaan dipadamkan.

MP Pekan selanjutnya menjelaskan beliau enggan mendedahkan nama penerima hadiah itu kerana tidak adil untuk menyebarkan namanya kepada umum.
Surat asal akan diserahkan kepada mahkamah sebagai keterangan dan pihak peguam akan membuat penjelasan, kata Encik Najib lagi.

"Oleh kerana kes SRC in masih dalam perbicaraan, saya tak dapat menjelaskan dengan lebih lanjut pada masa ini.

"Yang saya boleh kata ialah tajuk berita dari kerajaan PH ini bukan semua boleh dipercayai secara bulat-bulat kerana ia amat selektif.

"Itulah sebab saya sudah beberapa kali meminta perbicaraan kes saya disiarkan secara langsung supaya rakyat tahu cerita sebenar. Tapi PH tak mahu.
"Saya juga percaya bahawa penjelasan dalam catatan ini tidak akan masuk berita stesen televisyen," jelasnya lagi.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan