Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib nafi minta perlindungan saksi, buat laporan polis mohon perlindungan diri & keluarga

Mantan perdana menteri Malaysia Najib Razak hari ini (20 Mei) menafikan bahawa beliau meminta perlindungan saksi daripada polis berhubung siasatan ke atas skandal 1MDB.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 May 2018 04:50PM Dikemas Kini : 21 May 2018 12:10AM

KUALA LUMPUR: Mantan perdana menteri Malaysia Najib Razak hari ini (20 Mei) menafikan bahawa beliau meminta perlindungan saksi daripada polis berhubung siasatan ke atas skandal 1MDB.

Beliau berkata demikian kepada Mediacorp sebaik sahaja tiba di kediaman rasminya di Sri Kenangan yang terletak di kawasan undi Pekan.

Menurut laporan Bernama, Datuk Seri Najib sebaliknya "membuat laporan polis untuk memohon perlindungan polis bagi dirinya dan keluarga kerana bimbang akan keselamatan mereka selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14".

Laporan itu memetik seorang jurucakap beliau menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Laporan Bernama menambah, kenyataan dua perenggan oleh jurucakap mantan PM itu merujuk laporan akhbar tempatan hari ini yang memetik satu laporan polis yang dibuat Najib di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul petang semalam, yang mendakwa nyawa beliau dan keluarganya terancam.

Akhbar tempatan itu memetik laporan laman Malay Mail semalam (19 Mei) yang melaporkan Datuk Seri Najib memberitahu Polis bahawa hidupnya dalam risiko dan meminta supaya beliau diletakkan di bawah jagaan perlindungan saksi bagi siasatan terhadap skandal berkaitan 1MDB.

Konvoi bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) itu meninggalkan kediamannya di Taman Duta pagi tadi dan tiba pada tengah hari di Pekan.

Ketibaan beliau disambut oleh hampir 100 pemimpin akar umbi dan penyokong Umno. Datuk Seri Najib memeluk mereka, yang sebahagiannya dilihat menitiskan airmata.

Sebagai Anggota Parlimen Pekan sejak tahun 1976, beliau mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan dan sokongan mereka selama ini, manakala isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor kedengaran meminta para penyokong wanita supaya tidak menitiskan airmata.

Perjalanan konvoi mereka dari Kuala Lumpur ke Pekan adalah lebih tiga jam.

"Penduduk mahu saya kembali bersama mereka untuk mereka menunjukkan penghargaan dan terus menyokong saya atas apa yang sudah saya lakukan buat mereka.

"Mereka mahu saya terus berkhidmat sebagai AP mereka dan saya berbesar hati untuk kembali dikelilingi rakan-rakan dan para penyokong, mereka yang sudah bersama saya sejak 42 tahun lalu," kata bekas Presiden UMNO itu.

Beliau yang dijangka merasmikan mesyuarat cawangan UMNO di Pekan hari ini, bersama-sama penduduk menyingsing lengan menyediakan bubur lambuk untuk berbuka puasa nanti.  

Sumber : CNA/Bernama/Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan