Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib mula bela diri di mahkamah esok bagi kes dana SRC

Esok (3 Dis) rakyat Malaysia bakal menyaksikan sejarah negara tercipta apabila buat pertama kalinya seorang bekas perdana menteri negara itu membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah.

Anggaran Waktu Membaca:
Najib mula bela diri di mahkamah esok bagi kes dana SRC

Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba di mahkamah pada 11 Nov 2019 (Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 02 Dec 2019 11:03PM Dikemas Kini : 02 Dec 2019 11:09PM

KUALA LUMPUR: Esok (3 Dis) rakyat Malaysia bakal menyaksikan sejarah negara tercipta apabila buat pertama kalinya seorang bekas perdana menteri negara itu membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah.

Najib Razak, 66, akan memberi keterangan dari tempat duduk saksi sebagai saksi pembelaan pertama untuk menjawab tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta (S$13.7 juta) daripada dana SRC International Sdn Bhd di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menurut peguamnya Harvinderjit Singh, Encik Najib akan dipanggil sebagai saksi pertama pada hari pertama prosiding pembelaan.

Esok, Encik Najib akan disoal terlebih dahulu oleh peguamnya semasa pemeriksaan utama dan kemudian pemeriksaan balas oleh pihak pendakwa.

Pada 11 Nov, Hakim Mohd Nazlan memerintahkan Encik Najib membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Beliau mempunyai tiga pilihan untuk membela diri.

Pilihan-pilihan itu adalah memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi, yang mana beliau tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan; keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh (memberi keterangan dari kandang tertuduh); dan pilihan terakhir adalah berdiam diri.

Keterangan dari tempat duduk saksi akan lebih meyakinkan mahkamah berbanding dua pilihan lagi. Jika tertuduh memilih untuk berdiam diri, mahkamah tiada pilihan melainkan mensabitkan tertuduh.

Ahli Parlimen Pekan itu membuat pilihan pertama, untuk memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi yang bermakna beliau akan disoal balas oleh pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohd Nazlan antara lain memutuskan bahawa Encik Najib menggunakan kedudukannya untuk ganjaran dan menggunakan dana SRC sebanyak RM42 juta, yang beliau mempunyai kepentingan, untuk kepentingan peribadi dan manfaat sendiri.

Hakim juga mendapati Encik Najib mempunyai pengaruh yang besar di samping kuasa penuh dalam SRC dan pihak pendakwaan berjaya dalam membuktikan bahawa terdapat unsur-unsur pecah amanah (CBT) oleh Encik Najib melibatkan dana syarikat itu.

Mengenai pertuduhan pengubahan wang haram, Hakim Mohd Nazlan memutuskan bahawa RM42 juta dalam akaun Encik Najib adalah hasil satu perbuatan menyalahi undang-undang, sebagaimana yang dibuktikan dalam pertuduhan CBT.

"Oleh itu, terdapat kes prima facie terhadap tertuduh berkenaan dalam setiap tuduhan penggunaan kedudukan untuk suapan, tiga tuduhan pecah amanah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram.
"Oleh itu, kini saya mengarahkan tertuduh untuk membuat pembelaan berhubung semua tujuh pertuduhan,” katanya.

Encik Najib yang berkhidmat sebagai perdana menteri keenam Malaysia mulai April 2009 hingga Mei 2018, merupakan perdana menteri pertama di negara itu yang menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Beliau dituduh melakukan tujuh kesalahan antara 17 Ogos, 2011 dan 2 Mac, 2015.

Mahkamah menetapkan pembelaannya bermula pada 3 Dis hingga 4 Dis, 9 Dis hingga 12 Dis, dan 16 Dis sehingga 19 Dis.

Pendakwaan diketuai Peguam Negara Tommy Thomas. Pasukan pendakwaan juga terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc V.Sithambaram manakala peguam Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pembelaan.

Pada 22 dan 23 Okt, mahkamah mendengar hujah daripada pasukan pendakwaan dan pembelaan. Pendakwaan mengakhiri kesnya pada 27 Ogos, selepas 58 hari perbicaraan dengan 57 saksi dipanggil memberi keterangan.

Semasa perbicaraan itu, pendakwaan mengemukakan lebih 750 ekshibit, termasuk dokumen bank yang berkait dengan akaun Encik Najib, urus niaga tunai, minit mesyuarat dan perbualan Blackberry Messenger mengenai transaksi akaun Encik Najib.

Encik Najib pertama kali dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 untuk berdepan tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Pada 8 Ogos, beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana sama.

Kesemua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan semua pertuduhan digabungkan dalam satu perbicaraan.

Jika disabitkan kesalahan, bekas perdana menteri itu berdepan, bagi setiap pertuduhan, hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai daripada hasil yang diperoleh secara tidak sah atau RM5 juta (S$1.6 juta), mana lebih tinggi, yang boleh dihukum mengikut Seksyen  4(1) akta sama.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan