Images
  • najib razak
    Gambar: BERNAMA

Najib mohon tarikh keputusan rayuan SRC dilapangkan

KUALA LUMPUR: Najib Razak pada Selasa (23 Nov) memohon Mahkamah Rayuan melapangkan tarikh 8 Disember ini yang ditetapkan untuk keputusan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta (S$13.6 juta) dana SRC International Sdn Bhd.

Menurut dokumen daripada Tetuan Shafee & Co yang mewakili Najib yang dihantar kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan, permohonan itu dikemukakan atas alasan Najib akan berada di Singapura sehingga 5 Disember ini.

“Pihak perayu (Najib) dengan rendah diri ingin memohon untuk tarikh tersebut dilapangkan dan tarikh keputusan ditetapkan pada minggu seterusnya iaitu minggu 13 Disember sehingga 17 Disember, atau mana-mana tarikh lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah,” menurut dokumen itu.

Menurut dokumen itu, sejurus pulang dari Singapura pada 5 Disember, perayu diwajibkan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Disember dan perayu hanya boleh hadir ke mahkamah atau tempat awam bermula 13 Dis.

Menurut dokumen itu lagi, pihak pendakwa raya juga telah dimaklumkan berkenaan perkara itu dan tidak membantah terhadap permohonan untuk menetapkan tarikh keputusan baru pada minggu antara 13 Disember hingga 17 Disember.

Selain itu, dokumen itu menyatakan perbicaraan kes pengubahan wang haram yang dihadapi peguam yang mewakili Najib, Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi juga ditetapkan untuk disambung bicara pada 8 Disember dan Najib juga mempunyai perbicaraan kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi.

Menurut dokumen itu pada minggu seterusnya iaitu 20 Disember sehingga 23 Disember, perbicaraan kes bunuh melibatkan Samirah Muzaffar yang diwakili Muhammad Shafee akan bersambung di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan media pada Selasa memaklumkan keputusan rayuan Najib itu ditetapkan pada 8 Disember ini.

Najib, 68 tahun, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lalu, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta (S$68.3 juta) selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan RM42 juta (S$13.6 juta) dana SRC International.

- BERNAMA/HA/ha

Top