Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib, Jho Low dan China nafi laporan 'China tawar tebus 1MDB'

Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan China masing-masing menafikan laporan Wall Street Journal (WSJ), yang mendakwa China membuat tawaran untuk menebus syarikat dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2016 bagi mendapatkan projek-projek menguntungkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Najib, Jho Low dan China nafi laporan 'China tawar tebus 1MDB'

(Gambar fail: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 09 Jan 2019 12:55PM Dikemas Kini : 09 Jan 2019 01:01PM

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dan China masing-masing menafikan laporan Wall Street Journal (WSJ), yang mendakwa China membuat tawaran untuk menebus syarikat dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2016 bagi mendapatkan projek-projek menguntungkan. Demikian menurut laporan akhbar Malaysiakini.

Menulis di laman Facebooknya semalam (8 Jan), Encik Najib berkata China tidak pernah membuat tawaran sedemikian mahupun memasang peranti pengintip di kediaman para wartawan WSJ yang membuat laporan mengenai skandal 1MDB, di Hong Kong.

"Seperti dilaporkan oleh WSJ dan diketahui ramai, ini (tawaran menyelamatkan 1MDB) juga tidak pernah berlaku.

"Malaysia meneruskan usahanya dan berjanji untuk memeterai satu perjanjian penyelesaian dengan syarikat International Petroleum Investment Corporation (IPIC) milik kerajaan Abu Dhabi bagi memastikan agar semua wang yang didakwa hilang dari 1MDB akan dikembalikan sebelum 31 Disember 2020," katanya ketika menyangkal laporan berkenaan.

Dalam satu kenyataan berasingan pula, jurucakap kedutaan China di Kuala Lumpur berkata itu mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman di negara-negara lain.

Malaysiakini memetik jurucakap itu sebagai berkata: "China tidak pernah menyertakan syarat-syarat politik dalam kerjasama kami dengan negara lain.

"Kami mempromosikan Inisiatif 'Jaluran Ekonomi Laluan Sutera China' mengikut prinsip rundingan meluas, sumbangan bersama dan manfaat yang dikongsi bersama, dengan matlamat ke arah pembangunan dan kemakmuran bersama.

"Kami tidak menerima sebarang tuduhan tidak berasas yang dibuat terhadap China."

Pihak kedutaan itu turut menyatakan bahawa China kekal komited untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad untuk memperbaiki hubungan dua hala.

RUNDINGAN SULIT DIDAKWA DIADAKAN

Awal semalam (8 Jan), dua wartawan WSJ - Tom Wright dan Bradley Hope - memetik minit mesyuarat yang tidak pernah didedahkan sebelum ini sebagai mendakwa bahawa China pada 2016 pernah menawarkan untuk menebus 1MDB. China juga didakwa membantu menyelongkar bagaimana para wartawan mendapatkan maklumat mengenai syarikat tersebut.

Encik Wright dan Encik Hope juga mendakwa bahawa para pegawai China itu menawar untuk mengenakan tekanan terhadap Amerika Syarikat dan negara-negara lain supaya menggugurkan siasatan berhubung 1MDB.

Menurut laporan Malaysiakini, kedua-dua wartawan itu juga mendakwa bahawa rundingan-rundingan sulit juga diadakan bagi membolehkan kapal-kapal tentera laut China berlabuh di dua pusat pelabuhan di Malaysia.

"Dalam tempoh beberapa bulan, Najib, yang menafikan sebarang salah laku dalam kes 1MDB, memeterai perjanjian projek kereta api dan saluran paip bernilai AS$34 bilion (S$46 bilion) dengan syarikat China, yang dibiayai bank-bank China dan dibina oleh pekerja China," kata mereka sambil merujuk kepada projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Rentas Sabah (TSGP).

HANYA "SEPARUH BENAR", MENURUT JHO LOW

Sementara itu, ahli perniagaan Low Taek Jhow juga menafikan laporan WSJ itu yang mendakwa beliau mempunyai peranan dalam mengaturkan perjanjian dengan China untuk menebus 1MDB pada 2016 bagi mendapatkan kontrak-kontrak menguntungkan, lapor Malaysiakini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakapnya menerusi para peguam beliau, Low berkata rencana itu adalah "separuh benar" dan sebaliknya, menyalahkan pentadbiran Dr Mahathir.

Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata bahawa kabinet sebelumnya di bawah pimpinan Encik Najib tidak dimaklumkan bahawa perjanjian-perjanjian projek dengan China bertujuan untuk menebus 1MDB.  

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan