Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib gesa kerajaan Mahathir telus berkaitan HSR: Kosnya RM72 bilion, bukan RM110 bilion

Kerajaan Malaysia perlu bersikap terbuka tentang keputusannya untuk membatalkan projek kereta api laju KL-Singapura (HSR), kata Mantan Perdana Menteri Najib Razak melalui catatan Facebooknya hari ini (30 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Najib gesa kerajaan Mahathir telus berkaitan HSR: Kosnya RM72 bilion, bukan RM110 bilion

(Gambar fail: Mohd Rasfan/ AFP)

Diterbitkan : 31 May 2018 12:37AM Dikemas Kini : 31 May 2018 12:42AM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia perlu bersikap terbuka tentang keputusannya untuk membatalkan projek kereta api laju KL-Singapura (HSR), kata Mantan Perdana Menteri Najib Razak melalui catatan Facebooknya hari ini (30 Mei).

Encik Najib berkata bahawa beliau memahami bahawa ia merupakan hak kerajaan Pakatan Harapan untuk membatalkan projek tersebut tetapi beliau kecewa dengan keputusan itu.

"Saya kecewa dengan keputusan terburu-buru ini dan menggesa pemerintah supaya menjadi lebih telus dan jalankan perundingan dahulu kerana keputusan mereka akan menjejas ekonomi masa depan, serta pasaran buruh Malaysia," kata beliau.

Encik Najib berkata projek itu melibatkan penyelidikan bertahun-tahun yang membuktikan bahawa ia akan membawa kebaikan sosial dan ekonomi kepada kedua-dua negara.

"Saya rasa ia tanggungjawab saya untuk berkongsi bagaimana kerajaan Barisan Nasional membuat keputusan (untuk melancarkan projek) dengan pemerintah Singapura," kata Encik Najib sambil menambah bahawa kos yang dianggarkan sebenarnya sekitar RM72 bilion (S$24 bilion) dan bukan RM110 bilion (S$37 bilion) seperti yang dikatakan oleh Pakatan Harapan.

"Ini termasuk kos pemerolehan tanah yang perlu dibayar kepada rakyat Malaysia berdasarkan rating antarabangsa," kata beliau.

Encik Najib juga menyatakan bahawa kos sebenar hanya akan didedahkan selepas tender bagi reka bentuk, membina, membiaya dan menyenggara aset-aset kereta api, ditutup pada 28 Disember 2018 seperti yang dijangkakan.

"Kerajaan perlu menjelaskan kepada kami tentang jumlah RM110 bilion itu. Adakah perangkaan itu berdasarkan politik, seperti mana mereka menguar-uarkan tentang 'hutang negara' sebanyak RM1 trillion?" katanya.

Encik Najib juga terperanjat dengan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir bahawa Malaysia tidak akan mendapat sesen pun daripada projek HSR.

"Hakikatnya, projek prasarana seperti HSR akan membawa banyak manfaat dari segi nilai hartanah, pertumbuhan ekonomi, peralihan teknologi, dan kemasukan pakar-pakar dari Singapura, serta pelancongan," kata Encik Najib.

"Saya ingin bertanya dengan Dr Mahathir: Apakah projek-projek seperti Lebuh Raya Pan Borneo dan Lebuh Raya Utama Tengah... hanya membawa kepada hasil kewangan? Sudah pasti tidak."

Encik Najib selanjutnya berkata bahawa berdasarkan laporan yang beliau lihat sebelum ini, HSR akan menjana pendapatan negara kasar sekitar RM650 bilion (S$218 bilion) sehingga 2069. "Selain itu, ia akan mewujudkan 110,000 pekerjaan baru dan ia dijangka meningkat kepada 442,000 pada 2069.

"Laporan ini seharusnya dikongsi dengan orang awam sebagaimana kerajaan Barisan Nasional lakukan ketika pertama kali diundang untuk memberi maklum balas tentang HSR," kata Encik Najib.

Mantan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan itu turut bertanya jika keputusan untuk membatalkan projek HSR merupakan keputusan sepihak dan "tidak pernah dibincangkan dalam Kabinet" di samping mempersoalkan mengapa Menteri Kewangan sekarang enggan mengulas tentang isu ini.

"Ekonomi masa kini lebih kompleks daripada sebelumnya dan ia amat mengecewakan jika PM gagal untuk melihat manfaat yang boleh diraih melalui projek HSR selain hasil kewangan penjualan tiket," tulis Encik Najib.

"Jangan membuat keputusan terburu-buru hanya kerana anda ingin membalas dendam terhadap pihak tertentu atau kerajaan Barisan Nasional. Keputusan berdasarkan emosi hanya akan menjejas rakyat," tambah beliau.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan