Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Najib berdepan pertarungan empat penjuru di Pekan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempertahankan kerusi Parlimen Pekan bagi penggal ke-10, berhadapan tentangan calon PKR Mohamad Zahid Mat Arip, wakil PAS Kapten (B) Ahiatudin Daud dan calon Bebas Datuk Kadir Sainudin pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Apr 2018 01:20PM Dikemas Kini : 28 Apr 2018 10:26PM

PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempertahankan kerusi Parlimen Pekan bagi penggal ke-10, berhadapan tentangan calon PKR Mohamad Zahid Mat Arip, wakil PAS Kapten (B) Ahiatudin Daud dan calon Bebas Datuk Kadir Sainudin pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Encik Mohamad Zahid adalah anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang juga merupakan cucu mantan Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba manakala Kapten Ahiatudin pula Naib Yang Dipertua PAS Pekan dan Datuk Kadir merupakan seorang kontraktor dari Johor.

Pertandingan empat penjuru itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Md Yusli Ibrahim Mohd Yunus pada 11.35 pagi tadi (28 Apr).

Datuk Seri Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), sebelum itu mengemukakan borang pencalonannya di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah pada 9.00 pagi bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pekan yang disandangnya sejak 1976.

Perdana Menteri Malaysia itu yang berbaju Melayu biru tua dan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, tiba di bangunan Umno Pekan pada 8.35 pagi dan berarak bersama-sama penyokongnya selama lima minit menuju ke pusat penamaan calon yang terletak kira-kira 300 meter dari bangunan tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) diiringi empat calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri, iaitu Encik Khairuddin Mahmud (Pulau Manis), Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali (Peramu Jaya), Encik Mohd Fakhruddin Mohd Ariff (Bebar) dan Datuk Abu Bakar Harun (Chini).

Pada PRU13, Datuk Seri Najib menang dengan majoriti 35,613 undi dalam pertembungan satu lawan satu dengan calon PKR Mohd Fariz Abd Talib.

Kali ini, beliau berdepan saingan empat penjuru melibatkan calon PKR, PAS dan Bebas.

Sementara itu, proses penamaan calon bagi PRU14 hari ini yang berakhir pada 10.00 pagi di seluruh negara menyaksikan watak-watak utama dan penting dalam arena politik tanah air selesai menyerahkan borang pencalonan mereka.

Barisan Nasional (BN) menyaksikan pengerusinya cuba mempertahankan kubunya di Parlimen Pekan yang dipegang sejak 1976 manakala timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula menyerahkan kertas pencalonan bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandang sejak 1995.

Pemimpin komponen BN turut mengintai peluang mengekalkan kerusi masing-masing – Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai di Parlimen Bentong, Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam di Parlimen Segamat dan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong di Parlimen Teluk Intan.

Pemimpin BN di Sabah dan Sarawak juga mahu meneruskan perjuangan dalam mempertahankan ‘gawang’ masing-masing dengan Encik Arthur Joseph Kurup menggantikan bapanya, Tan Sri Joseph Kurup yang merupakan Presiden PBRS di kerusi Parlimen Pensiangan.

Sementara itu Presiden UPKO Datuk Seri Madius Tangau di kerusi Parlimen Tuaran, Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan dan Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing di Parlimen Bintulu.

Pemimpin parti pembangkang seperti Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad mengemukakan kertas pencalonan untuk Parlimen Langkawi, Presiden PKR Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen Pandan, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa, manakala naib presidennya Cik Nurul Izzah Anwar di Parlimen Permatang Pauh.

Penasihat DAP Lim Kit Siang turut cuba mengekalkan kerusi Parlimen Iskandar Puteri (dahulu dikenali Gelang Patah) yang disandangnya, selain Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen Pagoh, manakala Presiden Amanah Mohamad Sabu mencuba nasib di Parlimen Kota Raja.

Pihak PAS juga tidak kurang menarik dengan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mahu mengekalkan kedudukannya di kerusi Parlimen Marang manakala Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin ingin bertanding mewakili parti itu di Parlimen Arau.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan