Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Naib Presiden PAS cadang lagi agar UMNO dibubar, anggotanya sertai PAS

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah, mengulangi cadangannya agar UMNO dibubarkan dan anggotanya menyertai PAS kerana parti itu tidak lagi mempunyai masa depan dalam politik negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Naib Presiden PAS cadang lagi agar UMNO dibubar, anggotanya sertai PAS

Naib Presiden PAS Encik Mohd Amar Nik Abdullah. (Gambar: Dato' Nik Amar/Facebook)

Diterbitkan : 19 Dec 2018 05:48PM Dikemas Kini : 19 Dec 2018 05:51PM

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah, mengulangi cadangannya agar UMNO dibubarkan dan anggotanya menyertai PAS kerana parti itu tidak lagi mempunyai masa depan dalam politik negara.

Encik Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata ini merupakan masa terbaik untuk anggota UMNO keluar parti memandangkan kedudukan parti itu semakin goyah berikutan tindakan beberapa anggota Parlimennya keluar parti.

"Saya dahulu dah komen lepas Pilihan Raya Umum ke-14, saya cadangkan UMNO dibubarkan dan semua orang (anggota) UMNO masuk PAS sebab pada pandangan kita UMNO tak ada masa depan dari segi politiknya dan tempohnya sudah berakhir," katanya kepada para wartwan selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim, hari ini (19 Dis).

Malam tadi (18 Dis), Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa tugas-tugas Presiden UMNO akan dijalankan oleh Timbalannya Encik Mohamad Hasan, menyusuli kemelut dalam parti berkenaan termasuk desakan agar beliau melepaskan jawatan.

Dr Ahmad Zahid turut dipetik sebagai berkata beliau berharap semua polemik mengenai kepimpinan ditamatkan dan mahu kepimpinan di peringkat akar umbi memberi fokus kepada memperkukuh parti.

Ditanya sebarang usaha oleh PAS untuk membawa anggota UMNO menyertai parti itu, Encik Mohd Amar berkata:"Takkan kita nak beritahu pula usaha kita.”

"Memang kita berkawan dengan anggota UMNO (selama ini) dan memang kita ajak (mereka sertai PAS) untuk kepentingan Islam. Dulu pun kita minta UMNO bersama dengan kita demi kepentingan Islam jadi dalam keadaan sekarang macam ni lagilah sesuai kalau mereka tinggalkan UMNO dan masuk PAS," katanya.

Mengulas mengenai desas desus dua anggota Parlimen iaitu Encik Khairy Jamaluddin (Rembau), Cik Nurul Izzah Anwar(Permatang Pauh) dan bekas Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli bakal menubuhkan parti baharu berteraskan orang muda, Encik Mohd Amar berkata jika benar, langkah itu akan memberi pilihan kepada orang muda. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan