Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nahas LRT KL:Prasarana tamatkan perkhidmatan Tajuddin dengan serta-merta

Petisyen yang gesa Tajuddin Abdul Rahman diberhentikan sebagai Pengerusi Prasarana terima lebih 130,000 tanda tangan, setelah orang ramai dilaporkan tidak puas hati dengan caranya menangani sidang media susulan kemalangan LRT di KL.

Anggaran Waktu Membaca:
Nahas LRT KL:Prasarana tamatkan perkhidmatan Tajuddin dengan serta-merta

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 26 May 2021 09:05PM Dikemas Kini : 26 May 2021 10:15PM

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) ditamatkan serta merta, lapor media Malaysia hari ini (26 Mei).

Astro Awani melaporkan perkara itu disahkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia selepas satu surat bertarikh 26 Mei yang dihantar kepada Encik Tajuddin tular di laman sosial.

"Dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan telah bersetuju agar perkhidmatan Datuk Seri sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ditamatkan berkuasa kuasa serta-merta.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakam setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas perkhidmatan dan sumbangan yang telah Datuk Seri berikan kepada Prasarana sepanjang menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif syarikat," lapor Astro Awani menukil surat itu.

Menteri Kewangan Diperbadankan adalah pemegang saham tunggal Prasarana, yang memiliki banyak rangkaian pengangkutan awam Malaysia, lapor Malaysiakini.

Ini termasuk laluan LRT Kelana Jaya, yang menyaksikan kemalangan pada hari Isnin selepas dua tren LRT bertembung - mengakibatkan 64 orang dikejarkan ke hospital - enam daripadanya dalam keadaan kritikal.

Jurucakap Kementerian Kewangan mengesahkan surat itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Menurut laman tersebut, perkembangan terkini itu terjadi setelah Encik Tajuddin mendapat kecaman menyusuli kenyataannya ketika mengendalikan sidang media mengenai kemalangan LRT baru-baru ini.

Malay Mail pula melaporkan Ahli Parlimen Pasir Salak itu sebagai berkata bahawa beliau belum menerima surat penamatan perkhidmatan itu.

"Belum. Mahu tamatkan, tamatkanlah. Apa isunya? Apa isunya? Kalau mahu tamatkan, tamatkanlah. Terima kasih lah. Saya boleh buat kerja lain," katanya.

Malaysiakini melaporkan bahawa pada Selasa, Encik Tajuddin berkata "normal ... hanya dua tren bersama, saling bercium ..." sambil tertawa kecil semasa menjawab pertanyaan media tentang situasi di tempat kemalangan LRT.

Cara beliau menjawab tentang ketidakhadirannya di tempat kejadian pada malam berlakunya kemalangan itu juga dilaporkan tidak diterima oleh orang ramai. Menurut Malaysiakini, ramai tidak senang dengan kenyataan "first thing in the morning" ("secepat mungkin esok pagi") yang dibuat oleh beliau.

Beliau menjelaskan tidak hadir pada malam kejadian kerana baru selesai mesyuarat dan ingin bersiap untuk mendapatkan dos kedua vaksin COVID-19.

Cara Encik Tajuddin mengendalikan sidang media itu kemudiannya mengundang gesaan agar beliau berundur daripada Prasarana.

Setakat 7.30 malam tadi, petisyen yang menggesa pemecatan Encik Tajuddin mendapat lebih 130,000 tanda tangan, lapor Malaysiakini yang menambah beliau sedang disiasat polis kerana tidak memakai pelitup muka ketika sidang media itu.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan