Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nahas LRT KL: Keluarga mangsa tuntut pampasan RM1.8 juta dari Prasarana

Keluarga salah seorang penumpang yang cedera parah dalam insiden pelanggaran dua tren LRT di Laluan Kelana Jaya berhampiran Stesen LRT KLCC minggu lalu mengemukakan Notis Tuntutan Undang-undang terhadap Prasarana bagi menuntut pampasan dan ganti rugi kecuaian berjumlah RM1.8 juta (S$577,400).

Anggaran Waktu Membaca:
Nahas LRT KL: Keluarga mangsa tuntut pampasan RM1.8 juta dari Prasarana

Salah seorang penumpang yang cedera dalam insiden pertembungan LRT di Kuala Lumpur. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 31 May 2021 11:08PM Dikemas Kini : 31 May 2021 11:34PM

KUALA LUMPUR: Keluarga salah seorang penumpang yang cedera parah dalam insiden pelanggaran dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Laluan Kelana Jaya berhampiran Stesen LRT KLCC minggu lepas telah mengemukakan Notis Tuntutan Undang-undang terhadap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi menuntut pampasan dan ganti rugi kecuaian berjumlah RM1.8 juta (S$577,400).

Surat tuntutan dikemukakan pada Isnin (31 Mei) oleh keluarga mangsa, Wong Chee Foong, 52, menerusi peguam Jazzmine Khoo daripada firma guaman Tetuan Jazzmine Khoo & Associates.

Menurut kenyataan oleh firma guaman itu, mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala, muka dan tulang belakang akibat tragedi itu sehingga perlu menjalani beberapa pembedahan dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Tuntutan berkenaan merangkumi perbelanjaan bagi perubatan, kecederaan fizikal, tekanan mental dan emosi, trauma, kehilangan pendapatan, ganti rugi khas dan am atas kecuaian yang berlaku.

“Keluarga mangsa berharap Prasarana akan memberi maklum balas berhubung notis tuntutan itu serta mengemukakan cadangan penyelesaian yang baik dan wajar dengan segera,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu pada sidang media di pejabat firma guaman berkenaan, Khoo berkata Prasarana diberi masa tujuh hari untuk memberi maklum balas terhadap surat notis tuntutan itu.

Menurut Khoo, Wong, seorang tukang masak di sebuah hotel lima bintang di sini adalah satu-satunya pencari nafkah untuk keluarga dan dia mempunyai empat orang anak berusia antara 15 hingga 3 tahun.

Isteri Wong, Joyce Wong, 42, memberitahu pemberita bahawa suaminya mengalami banyak kecederaan serius di kepala, muka dan tulang belakang ekoran kemalangan itu.

"Suami saya baru selesai menjalani pembedahan otak dan hari ini dia akan menjalani pembedahan lain untuk tulang belakang dan patah tulang muka, dia masih diberikan sedatif sejak kemalangan itu," katanya.

Isnin lepas, seramai 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan apabila sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan