Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nahas jalan raya: Salam sentuhan terakhir ibu dan 2 anak

Seorang ibu tidak menyangka salam dua anak perempuannya sebelum ke Perak bersama bapa mereka adalah sentuhan terakhir apabila dua remaja itu maut dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (Lebuh AMJ) menghala ke Simpang Ampat, Alor Gajah, malam tadi (9 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Nahas jalan raya: Salam sentuhan terakhir ibu dan 2 anak

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 10 Aug 2019 11:10AM Dikemas Kini : 10 Aug 2019 11:12AM

MELAKA: Seorang ibu tidak menyangka salam dua anak perempuannya sebelum ke Perak bersama bapa mereka adalah sentuhan terakhir apabila dua remaja itu maut dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (Lebuh AMJ) menghala ke Simpang Ampat, Alor Gajah, malam tadi (9 Ogos).

Cik Rosziati Muktar, 36 tahun, berkata beliau bertemu anak sulungnya Alia Azhar, 17 tahun, dan anak keduanya Alissa, 15 tahun, yang tinggal bersama ibu bapanya di Yong Peng, Johor pada Khamis.

“Tak sangka. Ketika saya menghantar barangan dapur ke rumah Mak di Yong Peng iaitu tempat mereka tinggal sejak kecil, mereka salam saya berkali-kali, dah salam selepas itu salam lagi, saya kata dah salam berapa kali nak salam dan Alissa jawab, ye ke ibu, dah salam.

“Baru-baru ini mereka kerap kemas kini status di aplikasi WhatsApp menyatakan teringin pergi jalan-jalan seperti mandi di taman tema di Batu Pahat selepas Hari Raya Aidiladha dan saya pun sudah merancang cuti pada Selasa depan, namun semuanya tidak kesampaian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka hari ini (10 Ogos).

Cik Rosziati yang bekerja di Batu Pahat sebagai Perunding Kecantikan itu berkata sejak kira-kira lapan tahun berpisah dengan suaminya Encik Azhar Ahmad, 57 tahun, yang turut maut dalam kejadian itu, Alia dan Alissa serta anak bongsunya, Arshad, 14 tahun, tinggal bersama ibu dan bapanya di Yong Peng.

Menurut beliau, setiap kali musim cuti sekolah dan sambutan hari perayaan Allahyarham Azhar akan menjemput dua anak perempuannya itu di Yong Peng untuk membawa mereka ke rumah bekas suaminya itu di Ipoh, Perak kecuali Arshad kerana anak lelakinya itu mengalami autisme.

Katanya kedua-dua anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Seth, Yong Peng ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kecantikan kerana bercita-cita menjadi perunding kecantikan.

Cik Rosziati berkata kedua-dua anaknya itu sentiasa disenangi orang sekeliling kerana berkeperibadian baik dan mendengar kata.

Selain bapa dan dua beradik itu, turut terkorban dalam nahas pukul 9.40 malam semalam ialah kakak bapa mereka, Habibah 60-an dan isteri Encik Azhar yang hanya dikenali sebagai Cik Halimaton, 24 tahun.

Turut maut di tempat kejadian ialah pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berusia 51 tahun namun belum dikenal pasti identitinya, manakala penumpang perempuan dipercayai anak mangsa mengalami kecederaan parah.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan