Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Nahas bas di Turki: Jenazah mangsa dibawa pulang selewat-lewatnya Sabtu

Jenazah mangsa yang terkorban dalam kemalangan bas pelancong di Turki akan dibawa pulang selewat-lewatnya Sabtu ini (19 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Nahas bas di Turki: Jenazah mangsa dibawa pulang selewat-lewatnya Sabtu

(Gambar: Noreen Kartel/Facebook menerusi Bernama)

Diterbitkan : 17 Oct 2019 06:39PM Dikemas Kini : 17 Oct 2019 06:41PM

SHAH ALAM: Jenazah mangsa yang terkorban dalam kemalangan bas pelancong di Turki akan dibawa pulang selewat-lewatnya Sabtu ini (19 Okt).

Allahyarham Azalan Miswan, 50 tahun, maut selepas bas yang dinaiki bersama 34 rakyat Malaysia terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappodokya pada Rabu (16 Okt).

Allahyarham merupakan pekerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Menurut Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek, pihaknya sedang berusaha menempah penerbangan awal bagi membolehkan jenazah pekerjanya itu dikebumikan di tanah air.

“Kami sedang berusaha untuk mendapatkan penerbangan pulang yang paling awal, mungkin esok atau Sabtu ini untuk membawa jenazah pekerja kami pulang, penerbangan itu nanti turut akan disertai oleh lain-lain kakitangan kami yang tidak tercedera atau dibenarkan keluar dari hospital.

“Jika mereka tidak dibenarkan keluar dari hospital lagi kami akan membawa mereka pulang melalui penerbangan yang lain,” katanya ketika ditemui wartawan hari ini (17 Okt).

Tambah Norita, berdasarkan maklumat yang diterima PKNS, seramai sembilan kakitangannya turut cedera dalam kemalangan berkenaan dan lapan masih dirawat di tiga hospital berlainan.

“Mereka ini mengalami pelbagai jenis kecederaan, ada yang patah kaki, ada yang patah tangan malah ada yang cedera di muka, kakitangan PKNS yang tidak cedera dan telah dibenarkan keluar hospital kini ditempatkan di hotel penginapan sementara yang disediakan oleh Kedutaan Malaysia di Ankara, Turki,” katanya.

Menurut Norita lagi, beliau difahamkan kejadian yang mengorbankan seorang pekerjanya yang berkhidmat selama 28 tahun itu berpunca daripada keletupan salah satu tayar bas berkenaan dan menyebabkan pemandu bas hilang kawalan sebelum terbalik.

Beliau menambah, pihak PKNS amat berterima kasih kepada Kementerian Luar, Kedutaan Malaysia di Ankara, Turki, Kedutaan Turki di Kuala Lumpur dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari kerana banyak membantu dan memberi sokongan moral terhadap PKNS dalam menghadapi kejadian itu.

Kementerian Luar mengesahkan seorang rakyat Malaysia maut manakala 10 yang lain cedera dalam satu kemalangan bas yang membawa rombongan seramai 35 kakitangan PKNS di Afyonkarahisar, Turki.

Kemalangan berlaku pada sekitar pukul 11.35 pagi pada Rabu (16 Okt) menyebabkan bas pelancong yang dinaiki rombongan rakyat Malaysia itu terbalik ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia. 

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan