Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muzium Hagia Sophia di Turki dijangka diisytihar semula sebagai masjid

Mahkamah Turki dijangka akan mengumumkan pada Jumaat (10 Jul) bahawa keputusan untuk menjadikan Hagia Sophia di Istanbul sebagai sebuah muzium pada 1934 menyalahi undang-undang, menurut dua pegawai Turki, yang sekali gus membuka peluang kepada bangunan itu untuk dibaik pulih sebagai sebuah masjid.

Anggaran Waktu Membaca:
Muzium Hagia Sophia di Turki dijangka diisytihar semula sebagai masjid

Pengunjung ke Hagia Sohpia di Turki pada Jul 2, 2020. (Gambar: REUTERS/Murad Sezer)

Diterbitkan : 09 Jul 2020 10:11PM Dikemas Kini : 09 Jul 2020 10:16PM

ANKARA: Mahkamah Turki dijangka akan mengumumkan pada Jumaat (10 Jul) bahawa keputusan untuk menjadikan Hagia Sophia di Istanbul sebagai sebuah muzium pada 1934 menyalahi undang-undang, menurut dua pegawai Turki, yang sekali gus membuka peluang kepada bangunan itu untuk dibaik pulih sebagai sebuah masjid meskipun terdapat keprihatinan masyarakat antarabangsa.

Presiden Recep Tayyip Erdogan sebelum ini menyarankan untuk mengembalikannya ke status masjid bagi Tapak Warisan Dunia UNESCO abad keenam itu, yang memainkan peranan penting dalam empayar Kerajaan Rom Timur (Byzantine) dan Kesultanan Ottoman atau turut dikenali sebagai Empayar Uthmaniyah dan kini menjadi salah satu monumen yang paling dikunjungi di Turki.

Langkah tersebut dijangka akan meningkatkan keprihatinan dalam kalangan pegawai Amerika Syarikat, Rusia dan Greece selain pemimpin gereja Kristian, dengan keputusannya dijangka akan diumumkan oleh mahkamah tertinggi Turki, iaitu Mahkamah Majlis Negara, yang mengadakan perbicaraan mengenainya pada Khamis lalu.

Yang menjadi persoalan adalah kesahan keputusan yang dibuat pada 1934, sedekad setelah penubuhan republik Turki moden yang sekular di bawah kepimpinan Mustafa Kemal Ataturk, mengubah bangunan purba itu menjadi sebuah muzium.

"Kami menjangkakan keputusan tersebut akan dibatalkan (dan) keputusan akan diumumkan pada Jumaat," kata seorang pegawai kanan Turki kepada Reuters.

Seorang pegawai dari Parti AK pimpinan Encik Erdogan, juga berkata keputusan "memihak kepada pembatalan" dijangkakan pada Jumaat ini.

Penulis ruangan yang menyokong pemerintah Abdulkadir Selvi menulis dalam akhbar Hurriyet yang mengatakan bahawa mahkamah sudah membuat keputusan untuk membatalkan langkah tersebut dan akan menerbitkannya pada Jumaat.

"Negara ini sudah menunggu selama 86 tahun. Mahkamah sudah menarik balik larangan ke atas Hagia Sophia," tulisnya.

Persatuan yang mengemukakan kes itu berhujah bahawa Hagia Sophia adalah hak milik Sultan Uthmaniyah Mehmed II, yang pada 1453 menawan kota itu, yang ketika itu dikenali sebagai Constantinople (Konstantaniah) dan mengubah gereja yang sudah berusia 900 tahun itu menjadi sebuah masjid.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan