Images
  • Hitler Indo museum
    Seoang wanita Indonesia ber'selfie' dengan patung lilin Adolf Hitler. (Gambar: AFP/Henryanto)

Muzium di Indonesia keluarkan patung lilin Hitler selepas undang kemarahan warga dunia

JAKARTA: Sebuah muzium yang membenarkan para pengunjung mengambil gambar 'selfie' dengan patung lilin Hitler mengeluarkan bahan pameran itu setelah mencetuskan kemarahan di merata dunia, menurut pengurus muzium itu hari ini (11 Nov).

Patung itu berlatarbelakangkan kem tahanan Auschwitz Nazi Jerman.

Muzium Seni Arca De ARCA yang terletak di kota Yogykarta itu dikecam beberapa kumpulan hak asasi selepas butiran mengenai pameran yang kontroversil itu diterbitkan dalam media asing.

Pameran itu menampilkan sebuah patung lilin saiz sebenar Hitler yang berdiri di hadapan foto besar pintu Auschwitz iaitu kem tahanan terbesar Nazi di mana 1.1 juta orang dibunuh.

Pengurus operasi muzium tersebut, Encik Jamie Misbah, berkata patung lilin itu sudah dikeluarkan selepas pihaknya dimaklumkan mengenai kritikan dari sebuah pertubuhan hak asasi manusia terkemuka Yahudi, Simon Wiesenthal.

"Kami tidak ingin mengundang kemarahan," kata Encik Jamie Misbah kepada AFP.

"Tujuan kami mempamerkan Hitler adalah untuk mendidik."

Patung lilin Hitler itu merupakan salah satu daripada 80 patung lilin tokoh-tokoh dunia, termasuk pemimpin dan selebriti ternama yang dipamerkan di pusat lilin dan kesan visual itu.

Pameran bertema Nazi itu adalah daya tarikan popular bagi para pengunjung mengambil selfie dan gambar-gambar mereka kemudian dikongsi di media sosial. Gambar-gambar berkenaan menunjukkan para pengunjung, termasuk kanak-kanak, mengambil gambar dengan Hitler. Malah dalam sesetengah gambar, mereka menabik cara Nazi.

Encik Jamie Misbah berkata adalah satu perkara "biasa" bagi para pengunjung untuk mengambil selfie di hadapan bahan-bahan pameran di muzium tetapi beliau turut berkata bahawa pihak muzium menghormati maklum balas masyarakat dunia yang tidak senang dengan pameran itu.

Para pakar sejarah menyebut kurangnya pendidikan sebagai punca tahap kesedaran dan kepekaan yang rendah mengenai Holocaust di Indonesia, yang merupakan negara dengan penduduk Muslim terbesar di dunia dan penduduk Yahudi adalah minoriti. 

- CNA/SM/nk

Top