Images
  • miri pollution
    Mutu udara di sebahagian Sarawak catat paras "berbahaya" setelah Indeks Pencemaran Udara catat bacaan 342. (Gambar: BERNAMA)

Mutu udara di Miri catat paras berbahaya, cecah 342 dalam Indeks Pencemaran Udara

KUCHING: Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2 di Miri, Sarawak, merekodkan mutu udara berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat kepada 342 pada 3.00 petang Isnin (12 Ogos) berbanding bacaan 317 pada 11.00 pagi hari yang sama.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak menyatakan satu kawasan mencatatkan status mutu udara pada tahap sangat tidak sihat iaitu di Stesen Pengawasan Udara Automatik yang terletak di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri dengan bacaan IPU 297.

“Dua stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat dari stesen Sibu dan Sri Aman manakala baki sembilan stesen lagi menunjukkan bacaan pada tahap sederhana,” menurut kenyatan jawatankuasa tersebut.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan laporan oleh Pusat Meterologi Khusus ASEAN (ASMC) - yang berpusat di Singapura - pada Ahad, imej satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Nasional (NOAA)-19 mengesan 56 titik panas di Kalimantan, dua di Sumatera, Indonesia, manakala empat titik panas yang dikesan - dua di Miri serta satu masing-masing di Sibu dan Kapit, Sarawak.

“Dalam hal ini, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan kepada NADMA (Agensi Pengurusan Bencara Negara) untuk melakukan pembenihan awan di kawasan Miri, Kuala Baram, Sibu dan Sri Aman.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan apa-apa aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan lagi kualiti udara dan menyebabkan jerebu bertambah buruk,” ulas kenyataan itu lanjut.

- BERNAMA/FZ/fz

Top