Images
  • mina lontar jamrah
    Jemaah haji melontar jamrah semasa musim haji 2019 (Gambar: AP Photo/Amr Nabil)

Musim haji berjalan lancar, tiada kejadian tidak diingini: Arab Saudi

MINA: Kementerian Ehwal Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan kejayaan menganjurkan ibadah haji tahun ini, dengan perjalanan lancar para jemaah antara Makkah dengan Arafah serta Muzdalifah dengan Mina.

Jurucakap kementerian itu, Mejar Jeneral Mansour Al-Turki berkata, pelan keselamatan pihak berkuasa berjalan lancar dan tiada laporan tentang kejadian tidak diingini.

Tahun ini hampir 2.5 juta jemaah dari dalam dan luar Saudi mengerjakan ibadah haji.

Pihak berkuasa Saudi menyatakan kewajipan melontar tiga jamrah di Mina hari ini berjalan seperti yang dirancangkan, hasil kawalan para anggota keselamatan dan pemantauan berterusan kamera-kamera digital serta pemantauan dari udara.

Maka itu tiada rempuhan berlaku di kompleks melontar jamrah.

Hari ini adalah Hari Tasyriq yang ketiga bagi para jemaah haji melontar ketiga-tiga jamrah sebelum meninggalkan kota Mina.

Ada yang perlu menyelesaikan ibadah haji dengan menyempurnakan tawaf dan sai haji di Makkah sebelum berangkat pulang.

Menurut pihak berkuasa Saudi, lebih 533,000 orang yang tiada permit haji dihalang daripada menunaikan ibadah itu tahun ini.

Lebih 244,000 kereta dan kenderaan pula dicegah daripada memasuki tanah haram kerana tiada lesen.

Sekitar 15,000 jemaah haji dilaporkan hilang kerana sesat ketika hendak kembali ke tempat penginapan masing-masing, namun kesemua mereka sudah ditemui.

Mengenai hujan lebat yang melanda Arafah selepas waktu Wukuf sehingga ke Mina sekarang, jurucakap Pasukan Pertahanan Awam Saudi berkata ia tidak menyebabkan kematian atau kecederaan.

Menurut Kementerian Kesihatan Saudi pula, tiada kes penyakit berjangkit dalam kalangan jemaah haji kali ini.

Sementara itu, 50 tahanan penjara Saudi mendapat kelonggaran dari agensi keselamatan negara itu untuk menyertai anggota keluarga mereka, mengerjakan ibadah haji kali ini.

Pelepasan untuk banduan-banduan itu bertujuan membantu proses pemulihan dan memudahkan proses integrasi ke dalam masyarakat.

- Agensi berita/AA/tq

Top