Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Murid 9 tahun bengkok tulang belakang, sukar berjalan akibat sering dibuli

eorang murid perempuan tahun tiga sebuah sekolah di Ayer Hitam, Jerlun, Johor, mendakwa menghadapi masalah tulang belakang bengkok dan tidak boleh berjalan akibat dipercayai dibuli rakan-rakan sekolahnya sejak tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Murid 9 tahun bengkok tulang belakang, sukar berjalan akibat sering dibuli

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 14 Aug 2019 11:52PM Dikemas Kini : 14 Aug 2019 11:55PM

JERLUN: Seorang murid perempuan tahun tiga sebuah sekolah di Ayer Hitam, Jerlun, Johor, mendakwa menghadapi masalah tulang belakang bengkok dan tidak boleh berjalan akibat dipercayai dibuli rakan-rakan sekolahnya sejak tahun lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Angah, 9 tahun, mendakwa dia sering dibuli tiga murid dengan cara ditendang di bahagian belakang dan paha hingga jatuh dari tangga bangunan sekolah.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata dia juga terpaksa mengikat perut atau meminta wang daripada kakaknya kerana sering diperas ugut mereka yang meminta wang sakunya.

"Depa (Mereka) ini, dua perempuan dan seorang lelaki, selalu ejek dan hina saya kata bapa saya gila dan pakaian saya kotor tak dibasuh. Depa minta duit saya dan ada seorang tendang dan pukul saya.

“Depa ugut kalau saya beritahu cikgu, mereka akan beritahu saya yang pinjam duit mereka,” dakwa Angah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gerbi, Ayer Hitam.  

Akibat perbuatan mereka itu, Angah terpaksa menggunakan kerusi roda bahkan, dia turut mengalami tekanan perasaan dan tidak mahu ke sekolah lagi kerana takut dibuli.

Sementara itu, ibu mangsa yang mahu dikenali sebagai Asma, 32 tahun, mendakwa anaknya dikesan berjalan ke sekolah secara tidak normal sejak Jun lalu dan sering sakit belakang apabila berdiri lama.

Beliau berkata Angah kemudiannya dimasukkan ke wad pada 15 hingga 22 Julai lalu dan menjalani pengimejan resonans magnetik (MRI) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). Keputusan MRI menunjukkan tulang belakang Angah bengkok dipercayai kerana 'terhenyak'.

"Angah bukan sahaja tidak dapat berjalan lama tetapi berdiri pun sukar kerana ia melibatkan saraf tunjang. Saya terpaksa mendukungnya jika ingin ke bilik air dan bahagian belakangnya juga jika disentuh, dia akan kesakitan.

“Saya cukup terkilan dengan apa yang berlaku kerana pernah beberapa kali berjumpa guru di sekolah berkenaan namun seperti tidak diendahkan apabila mereka hanya memberi jawapan akan siasat dan pantau sahaja," luah Cik Asma yang merupakan kakitangan sebuah hospital di Alor Setar.

Cik Asma mendawka anaknya dijangka menjalani pembedahan pada 27 Ogos ini dan laporan polis turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu berhubung kejadian buli itu dua hari lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia, Dr Salmee Said, ketika dihubungi berkata bahawa beliau sudahpun memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) agar siasatan dapat dijalankan.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan