Images
  • muhammad v
    Gambar fail Sultan Muhammad V pada Disember 2016. (Gambar: AFP)

Mungkinkah gambaran siapa Yang di-Pertuan Agong M'sia seterusnya lebih jelas petang ini?

MALAYSIA: Warga Malaysia mungkin akan mendapat gambaran lebih jelas siapakah Yang di-Pertuang Agong seterusnya hari ini (12 Jan).

Seorang pegawai kanan kerajaan negeri Pahang membuat pengumuman itu setelah Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang mengakhiri mesyuaratnya di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Perhatian kini tertumpu kepada kerabat diraja negeri Pahang, menyusuli peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia pada Ahad lalu.

Berdasarkan sistem raja berperlembagaan Malaysia yang menetapkan sembilan ketua negeri secara bergilir-gilir menjadi Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun, giliran seterusnya untuk menaiki takhta ialah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Namun, Sultan Ahmad Shah, berusia 88 tahun, dikatakan uzur dan sedang dirawat di hospital.

Lantaran itu, Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang merangkumi kerabat kanan kerabat diraja Pahang dan beberapa penasihat berpengaruh yang bergelar Orang Besar dan Orang Kaya, sudah bertemu di Kuala Lumpur semalam (11 Jan).

Mereka bermesyuarat bagi meluluskan usul agar Sultan Ahmad Shah turun takhta, supaya putera sulungnya, Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah dapat mengambil alih.

Apabila ditemui setelah mesyuarat itu selesai, Tengku Abdullah tidak mendedahkan apa-apa dan meminta pihak media supaya bersabar.

"Tidak, saya tidak boleh komen, mesti lakukan satu persatu," kata Tengku Abdullah.

Satu pengumuman rasmi akan dibuat di Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang pada petang ini (12 Jan).

Menurut sumber-sumber istana, sebaik sahaja diizinkan, Tengku Abdullah boleh mengangkat sumpah sebagai Sultan Pahang, sebelum mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 24 Januari untuk memilih Yang di-Pertuan Agong baru.

Upacara angkat sumpah Yang di-Pertuan Agong ke-16 dijadualkan pada 31 Januari.   

- BERNAMA/NA/na

Top