Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muhyiddin umum Bersatu tidak bertanding dalam PRN Sarawak

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan bulan depan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Muhyiddin umum Bersatu tidak bertanding dalam PRN Sarawak

Muhyiddin Yassin. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 27 Nov 2021 03:30PM Dikemas Kini : 27 Nov 2021 03:31PM

MUAR: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang akan diadakan bulan depan. 

Encik Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), berkata keputusan itu dibuat selepas sesi perbincangan bersama Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Tun Openg baru-baru ini.

“Bersatu tidak akan bertanding di Sarawak kerana itu hasrat pimpinan parti GPS. Walaupun kita ada tempat tertentu yang kita percaya kita boleh menang, langkah ini supaya parti yang sudah ada di Sarawak menang dengan cemerlang.

“Jadi untuk menghormati pandangan pimpinan itu yang pasti saya yakin GPS mempunyai kekuatan dan GPS adalah parti rakan dalam kerajaan yang ada sewaktu saya berkhidmat…jadi kita menghormati pandangan mereka,” katanya di sidang media selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh Kali Ketiga di Lenga, Muar, hari ini (27 Nov).

Bagaimanapun bekas perdana menteri itu berkata Abang Johari memberi bayangan bahawa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau menyatakan mungkin akan memberi pertimbangan kepada mana-mana parti lain untuk menyertai bersama GPS termasuk PN.

“Paling penting dalam perbincangan itu (bersama Abang Johari), pandangan daripada pihak GPS adalah supaya kerusi yang sedia ada itu dikekalkan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-12 dan hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember manakala hari pengundian awal pada 14 Disember.

Mengulas mengenai peletakan jawatan Naib Presiden Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Encik Muhyiddin berkata pengganti baru bagi jawatan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Encik Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh, berkata tindakan Encik Mohd Rafiq disifatkan sebagai satu langkah terhormat sekali gus membolehkan rombakan Badan Pimpinan Negeri (BPN) dapat dibuat menyusuli pasca PRN Melaka.

“Terbukti benar beliau meletakkan jawatan berundur dan ini satu langkah terhormat, iaitu memberi laluan supaya kita dapat buat rombakan BPN. Saya akan putuskan siapa yang bakal mengganti ataupun rombakan yang lain dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya.

Semalam, Encik Mohd Rafiq mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta bagi memberi peluang kepada kepimpinan baru untuk mengetuai Bersatu Melaka dan PN Melaka. Ini supaya mereka mempunyai masa mencukupi bagi membuat persiapan menghadapi PRU15. 

Ketika ditanya mengenai saranan UMNO supaya PRU15 disegerakan, Encik Muhyiddin berkata beliau telahpun memaklumkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya perbincangan diadakan bagi menentukan masa yang bersesuaian.

“Saya sudah maklumkan kepada Perdana Menteri supaya ada perbincangan dibuat untuk menentukan masa yang sesuai, mungkin di peringkat Perdana Menteri mengikut perlembagaan ia akan membawa kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Tapi saya pasti ia akan mengambil pertimbangan, situasi dan keadaan serta kerjasama antara parti politik yang dijalinkan menerusi perjanjian persefahaman (MoU) dalam menstabilkan situasi politik,” kata Encik Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pagoh. 

Pada 21 Nov lalu, Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan, yang juga ADUN Rantau, dilaporkan berkata wajar PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan