Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Muhyiddin paling banyak khianati saya, kata Dr Mahathir

Berbanding Azmin Ali, bagi Dr Mahathir Mohamad, 'luka' lebih dalam dirasainya berpunca daripada tindakan Muhyiddin Yassin yang diberi kepercayaan menjadi presiden Bersatu selepas mereka diketepikan daripada Umno beberapa tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Mar 2020 12:30PM Dikemas Kini : 01 Mar 2020 01:10PM

KUALA LUMPUR: Berbanding Azmin Ali, bagi Dr Mahathir Mohamad, 'luka' lebih dalam dirasainya berpunca daripada tindakan Muhyiddin Yassin yang diberi kepercayaan menjadi presiden Bersatu selepas mereka diketepikan daripada Umno beberapa tahun lalu.

Menjawab soalan pihak media di Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur hari ini (1 Mac), Dr Mahathir berkata, Azmin memang mempunyai agenda tersendiri dan pada masa sama, Muhyiddin menyusun perancangan yang akhirnya berjaya.

“Dia (Azmin) mempunyai agenda sendiri. Saya rasa dikhianati, paling banyak oleh Muhyiddin.

Beliau (Muhyiddin) merancang ini untuk masa yang lama dan kini dia berjaya,” katanya kepada Malaysiakini.

Dr Mahathir - yang dilantik Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri sementara - berkata, Muhyiddin dan penyokongnya sedang menuju ke Istana Negara bagi menghadiri acara angkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan Malaysia.

Awal dari itu, Dr Mahathir ditanya sama ada beliau berasa marah dengan tindakan Azmin yang memulakan gerakan bersama 10 ahli parlimen lain meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ahad lalu.

Ia membawa kepada pengumuman yang dibuat oleh Muhyiddin bahawa Bersatu tidak lagi bersama gabungan PH dan akhirnya menjatuhkan kerajaan yang diasaskan pada 8 Mei 2018.

Muhyiddin adalah timbalan kepada Najib Razak yang menjadi perdana menteri sehinggalah skandal 1MDB didedahkan, menyaksikan Ahli Parlimen Pagoh itu mengkritik kepemimpinan Umno.

Perselisihan itu membawa kepada penubuhan Bersatu yang kemudian dibawa menyertai PH. Gabungan itu berjaya memperoleh sokongan majoriti pengundi semasa PRU14 lalu membentuk kerajaan pusat, serta kebanyakan negeri.

Najib kemudian didakwa di mahkamah atas puluhan tuduhan membabitkan rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa. Kes-kes itu sedang dibicarakan di mahkamah.
  

Sumber : Agensi berita/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan