Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mohd Rafiq letak jawatan pengerusi Bersatu, PN Melaka

Encik Mohd Rafiq Naizamohideen hari ini (26 Nov) mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, berkuat kuasa serta-merta.

Anggaran Waktu Membaca:
Mohd Rafiq letak jawatan pengerusi Bersatu, PN Melaka

Gambar: Facebook/Mohd Rafiq Naizamohideen

Diterbitkan : 26 Nov 2021 11:08AM Dikemas Kini : 26 Nov 2021 11:11AM

KUALA LUMPUR: Encik Mohd Rafiq Naizamohideen hari ini (26 Nov) mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan dikeluarkan mantan exco Melaka itu, beliau juga melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Bersatu negeri tersebut.

Malaysiakini melaporkan, kata beliau, surat rasmi peletakan jawatan tersebut akan diserahkan kepada presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN, Encik Muhyiddin Yassin, esok (27 Nov).

"Saya ingin memohon jutaan kemaafan atas segala kekhilafan sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Pengerusi PN Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka," katanya.

Tambah Encik Mohd Rafiq, peletakan jawatan itu dibuat bagi memberi peluang kepada kepimpinan baru mengetuai parti supaya mereka mempunyai masa yang mencukupi membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Encik Mohd Rafiq merupakan exco kanan Melaka semasa Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri itu selepas PRU ke-14 yang diadakan pada 2018.

Bagaimanapun beliau bersama Bersatu meninggalkan gabungan tersebut untuk membentuk kerajaan baru - tanpa pilihan raya negeri (PRN) - bersama BN pada Mac tahun lalu, sekali gus menyaksikan PH tumbang kerana kehilangan majoriti dalam DUN.

Namun, kerajaan negeri itu jatuh pula akibat tindakan empat Adun membatalkan sokongan mereka kepada ketua menteri Sulaiman Md Ali, yang kemudian membawa kepada pelaksanaan PRN Melaka.

Dalam PRN yang diadakan pada 20 Nov lalu, PN meletakkan calon di semua 28 kerusi yang ada namun hanya memenangi dua daripadanya.

Di sebalik kedudukan Encik Mohd Rafiq sebagai pemimpin PN Melaka, beliau gagal memenangi kerusi yang ditandinginya, Telok Mas, lapor Malaysiakini.

Menurut Encik Mohd Rafiq peletakan jawatan itu juga dibuat agar beliau boleh memberikan fokus memperkukuhkan kedudukan dan sokongan rakyat terhadap PN serta Bersatu Tangga Batu.

Ia juga, katanya, membuka ruang buatnya memberi tumpuan penuh terhadap tanggungjawab sebagai naib presiden Bersatu menjelang PRU ke-15, lapor Malaysiakini.

"Saya berdoa agar rakyat Melaka dan Malaysia dapat terus memberikan sokongan kepada PN pimpinan Muhyiddin dan semoga PN mencapai kejayaan cemerlang pada PRU yang bakal tiba nanti," katanya. 

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan