Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Model kenderaan terbang buat kemunculan di pameran Langkawi

Di tengah-tengah perbualan tentang protaip kereta terbang yang dikatakan sedang dibangunkan di Malaysia, satu kenderaan berbeza pula yang mencuri tumpuan ramai di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19).

Anggaran Waktu Membaca:
Model kenderaan terbang buat kemunculan di pameran Langkawi

Model dron Vector yang dipamerkan di LIMA'19 (Gambar: Facebook/Margaret Chan)

Diterbitkan : 27 Mar 2019 11:46PM Dikemas Kini : 27 Mar 2019 11:52PM

LANGKAWI: Di tengah-tengah perbualan tentang protaip kereta terbang yang dikatakan sedang dibangunkan di Malaysia, satu kenderaan berbeza pula yang mencuri tumpuan ramai di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19).

Walaupun ia hanyalah sekadar model, orang ramai dapat idea yang jelas tentang rupa fizikal kenderaan yang boleh terbang, satu hari nanti.

Bagaimanapun, syarikat di sebalik konsep kenderaan yang dipanggil Vector itu menafikan bahawa kenderaan itu adalah sebuah kereta terbang.

Sebaliknya, Pengarah Kanan Perundingan dan Pembangunan Perniagaan Aerodyne Group, Imtyaz Mohd Azzat menjelaskan bahawa Vector direka untuk menjadi sistem pengangkutan udara dari satu destinasi ke destinasi lain.

Encik Imtyaz menjelaskan bahawa Vector adalah kenderaan berkonsep dron yang direka untuk membawa penumpang, penghantaran kargo dan tujuan pengawasan.

“Vector dikuasakan oleh empat motor dan bateri lithium-ion yang membolehkan kenderaan itu terbang.

“Kenderaan ini juga boleh membawa berat dianggarkan 150 hingga 200 kilogram dan terbang pada ketinggian kira-kira 50 meter dengan kelajuan 60 kilometer sejam dan 30 ke 90 minit masa penerbangan,” katanya kepada Bernama di luar LIMA’19 pada Rabu (27 Mac).

Ditanya bila kenderaan itu dijangka dapat terbang membelah awan, Encik Imtyaz berkata prototaip Vector dijangka siap untuk terbang seawal Jun tahun ini.

Beliau berkata syarikatnya yang berusia empat tahun, dengan pengalaman dalam teknologi drone, juga belum menentukan harga Vector sekiranya kenderaan itu bersedia untuk memasuki pasaran tidak lama lagi.

Mengenai sokongan kerajaan, Encik Imtyaz berkata beliau bersyukur kerana Kementerian Pembangunan Usahawan menyokong dan sangat terbuka dengan membantu syarikat membangunkan ekosistem yang menjadikan idea ini berjaya.

“Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga gembira dengan idea ini apabila beliau melawat gerai pempamer kami,” katanya.

Model Vector muncul kira-kira sebulan selepas kerajaan Malaysia mengumumkan ia menjangkakan prototaip kereta terbangnya yang pertama akan disiap tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Md Yusof mengumumkan bulan lalu bahawa prototaip tersebut yang dibangunkan dalam negeri adalah selamat dan berupaya terbang pada ketinggian rendah dan pada kelajuan munasabah.

Beliau pada ketika itu menambah, projek kereta terbang adalah satu cara kerajaan mewujudkan sekitaran yang mendorong rakyat untuk memikirkan tentang teknologi baru.

Edisi ke-15 LIMA’19 menyaksikan penyertaan 406 syarikat berkaitan pertahanan, 200 daripadanya adalah syarikat antarabangsa dari 32 negara.

Ia dianjurkan bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan dengan tema ‘Defence and Commercial Connecting Intelligence’.

Sumber : Bernama/CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan