Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Miliki beg tiruan: Lelaki Bangladesh nangis teresak-esak di mahkamah KL setelah dihukum penjara

Seramai tiga lelaki rakyat Bangladesh masing-masing dihukum penjara enam bulan selepas gagal membayar denda RM24,800 (S$8,200) dan RM12,700 (S$4,200) kerana memiliki pelbagai jenis beg mewah tiruan, Isnin lalu (18 Dis). 

Anggaran Waktu Membaca:
Miliki beg tiruan: Lelaki Bangladesh nangis teresak-esak di mahkamah KL setelah dihukum penjara

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 21 Dec 2017 10:52PM Dikemas Kini : 21 Dec 2017 11:04PM

KUALA LUMPUR: Seramai tiga lelaki rakyat Bangladesh masing-masing dihukum penjara enam bulan selepas gagal membayar denda RM24,800 (S$8,200) dan RM12,700 (S$4,200) kerana memiliki pelbagai jenis beg mewah tiruan, Isnin lalu (18 Dis).

Hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen hari ini (21 Dis).

Hasan Md Ashraful, 21, Md Saiful Islam, 25 dan Md Mizanur Rahman, 32, dijatuhi hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Md Saiful  menangis teresak-esak ketika tuduhan dibacakan terhadapnya dan tangisannya bertambah kuat hingga Wan Mohd Norisham memintanya jangan menangis.

Namun, ketiga-tiga tertuduh dilihat bertambah sedih ketika merayu kepada mahkamah untuk mengurangkan hukuman sehingga terpaksa ditenangkan anggota polis mahkamah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM24,800 (S$8,200) ke atas Hasan dan RM12,700 (S$4,200) masing-masing kepada Md Saiful dan Md Mizanur atau dipenjarakan selama enam bulan bulan jika gagal membayar denda itu.

Namun, mereka  tidak dapat membayar denda tersebut.

Hasan menghadapi tiga tuduhan iaitu memiliki 124 pelbagai barangan termasuk beg tangan dan dompet tiruan berjenama Gucci, Louis Vuitton dan Chanel bagi membekalkan barangan berkenaan di sebuah premis di Jalan Bukit Bintang pada 11.35 pagi, 18 Disember lalu.

Md Saiful dan Md Mizanur pula didakwa atas tiga tuduhan memiliki 127 barangan tiruan di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Kesemua mereka didakwa mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntuk hukuman denda sehingga RM10,000 (S$3,300) bagi setiap barang yang diletakkan dengan perihal dagangan palsu atau dipenjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, mereka yang tidak diwakili peguam merayu untuk dikenakan hukuman denda yang ringan dengan alasan mereka baru sahaja bekerja dua hari di situ.

"Saya memohon maaf, saya tidak tahu pekerjaan saya itu salah," kata seorang daripada mereka.  

Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Nurul Azlina Mohamad Yusof memohon hukuman berat dikenakan terhadap ketiga-tiga tertuduh dengan mengambil kira keseriusan kerajaan menangani kes-kes barangan tiruan sedemikian.

“Kes-kes sebegini sekali gus menjejaskan ekonomi negara kerana lokasi kejadian itu merupakan kawasan tumpuan pelancong,” katanya.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota KPDNKK membuat pemeriksaan di tempat kejadian dan mendapati ketiga-tiga tertuduh memiliki pelbagai barangan palsu. 

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan