Images
  • primary school student
    (Gambar hiasan: Nuria Ling/TODAY)

Menteri Pendidikan G7 bincang usaha cegah gejala buli, ketidaksamarataan pendidikan

PARIS: Menteri Pendidikan Ong Ye Kung kini di Paris, Perancis, bagi menghadiri mesyuarat G7 mengenai isu persekolahan. Tema utama mesyuarat tersebut adalah usaha mengekang perbuatan buli dan mengurangkan ketidaksamarataan dalam pendidikan.

Tumpuan Menteri Ong adalah memastikan warga Singapura bersiap sedia untuk dunia digital.

Meskipun Singapura bukan anggota G7, ia dijemput khas untuk mesyuarat kali ini. Encik Ong berkata kehadirannya di sana juga untuk menjadikan sistem pendidikan Singapura lebih baik.

"Sebenarnya, setiap ciri serta aspek sistem pendidikan kita timba dari negara lain yang diubah suai untuk kedudukan kita jadi hari ini adalah satu lagi proses di mana kita belajar lagi dari satu sama lain dan terus memperbaiki sistem kita," terang Encik Ong.

Para menteri G7 membincangkan pelbagai cara menggalak pembelajaran pada usia lebih muda.

Semua kanak-kanak Perancis misalnya wajib mulakan pendidikan pada usia tiga tahun. Para pegawai Singapura menyokong idea itu tetapi mengatakan tiada rancangan untuk mengurangkan usia pendidikan wajib sekarang iaitu mulai usia enam tahun.

Satu lagi isu yang dibahaskan adalah cara meningkatkan mutu latihan guru. Sedang penduduk sedunia terus meningkat, terdapat keperluan lebih tinggi untuk mempunyai para pendidik yang dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran baik.

Mantan guru dan kini Wanita Pertama Perancis, Cik Brigitte Macron, pula berpendapat perlunya usaha menamatkan perbuatan membuli di kalangan kanak-kanak. Dianggarkan sekitar 30 peratus kanak-kanak menghadapi perbuatan buli semasa di sekolah.

Perancis mengumumkan ia akan mengadakan satu persidangan antarabangsa mengenai antibuli di Paris tahun depan.

Usaha menangani masalah peluang pendidikan yang sama rata menjadi tema utama persidangan G7 kali ini. Usaha memberi akses sama rata kepada pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan di Afrika juga dibincangkan hari ini (5 Jul).

Turut menjadi tumpuan utama persidangan adalah mengurangkan jurang dalam kemahiran digital.

Menurut Encik Ong, Singapura perlu meneliti dengan serius tentang tahap celik digital dan sukatan pelajaran digital secara berasingan.

Ini bermakna para pelajar Singapura mungkin didedahkan lebih kepada topik pengekodan dan teknologi masa depan tidak lama lagi. 

- CNA/AA/fz

Top