Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri Luar Qatar bertemu dengan perdana menteri pemerintah Taliban di Kabul

Menteri Luar Qatar mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Afghanistan di bawah pemerintahan Taliban pada Ahad (12 Sep), dalam lawatan peringkat tertinggi yang pertama ke Kabul oleh seorang wakil asing sejak kumpulan militan itu mengambil alih ibu kota Afghanistan itu pada bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Luar Qatar bertemu dengan perdana menteri pemerintah Taliban di Kabul

Gambar fail Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman dipetik pada 11 Sep 2021 di Moscow, Rusia. (Gambar: Alexander Nemenov/Pool via REUTERS)

Diterbitkan : 13 Sep 2021 08:32AM Dikemas Kini : 13 Sep 2021 08:42AM

KAHERAH: Menteri Luar Qatar mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Afghanistan di bawah pemerintahan Taliban pada Ahad (12 Sep), yang merupakan lawatan peringkat tertinggi yang pertama ke Kabul oleh seorang wakil asing sejak kumpulan militan itu mengambil alih ibu kota Afghanistan itu pada bulan lalu.

Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani menyeru pemerintah baru Afghanistan supaya "melibatkan semua pihak dalam proses penyepaduan nasional" semasa beliau bertemu dengan Perdana Menteri Mullah Muhammad Hasan Akhund, menurut Kementerian Luar Qatar.

Qatar dianggap sebagai salah satu negara dengan pengaruh paling kuat ke atas Taliban dan memainkan peranan penting dalam operasi penerbangan yang diterajui oleh Amerika Syarikat bagi membawa keluar rakyat Amerika, warga negara-negara Barat dan rakyat Afghanistan yang membantu negara-negara Barat.

Doha, ibu kota Qatar, juga menghoskan pejabat politik Taliban, yang menyelia rundingan dengan Amerika Syarikat yang akhirnya membawa kepada pengunduran askar Amerika dari Afghanistan.

Encik Sheikh Mohammed dan perdana menteri baru Encik Akhund juga membincangkan "usaha bersama untuk memerangi pertubuhan pengganas yang mengancam kestabilan Afghanistan", cara-cara untuk mengukuhkan keamanan di negara itu dan perjalanan selamat untuk orang ramai, menurut Kementerian Luar Qatar.

Encik Sheikh Mohammed turut bertemu dengan perdana menteri dan beberapa menteri kanan yang lain, menurut jurucakap Taliban.

"Mesyuarat itu menumpukan perhatian kepada hubungan dua hala, bantuan kemanusiaan, pembangunan ekonomi dan interaksi dengan dunia luar," menurut Taliban.

Menurut Taliban, kepimpinan Amiriah Islam, istilah yang digunakan oleh kumpulan itu untuk merujuk kepada pemerintah baru Afghanistan, mengucapkan terima kasih kepada pemerintah Qatar atas sokongannya kepada rakyat Afghanistan.

Perjanjian Doha, yang ditandatangani oleh Amerika Syarikat dan Taliban, adalah satu "pencapaian bersejarah, semua pihak harus mematuhi pelaksanaannya", tambah Taliban.

Encik Sheikh Mohammed juga mengadakan pertemuan dengan Abdullah Abdullah, pegawai kanan dalam pemerintah Afghanistan yang lalu, serta bekas Presiden Afghanistan Hamid Karzai, menurut Kementerian Luar Qatar.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan