Images
  • yair lapid
    Menteri Luar Israel, Yair Lapid (Gambar: AFP/Andrew Harnik)

Menteri Luar Israel usul pelan pembangunan semula Gaza

BAITULMAKDIS: Menteri Luar Israel mengusulkan saranan-saranan untuk memperbaiki keadaan hidup di Gaza sebagai imbalan kepada Hamas bagi memastikan kumpulan yang mentadbir wilayah tersebut dapat menamatkan keganasan sedang kedua-dua pihak saling berbalas tembakan pada hujung minggu lalu.

Pelan tersebut, yang merangkumi faedah prasarana dan pekerjaan, bermatlamat untuk menunjukkan kepada rakyat Palestin di wilayah yang dikepung Israel itu bahawa kempen keganasan Hamas terhadap Israel menjadi "punca mereka hidup dalam keadaan miskin dan serba kekurangan, keganasan dan kadar pengangguran yang tinggi, tanpa harapan", kata Yair Lapid pada Ahad (12 Sep).

Beliau bertegas bahawa beliau bukan mahukan rundingan dengan Hamas kerana "Israel tidak akan berurusan dengan pertubuhan pengganas yang ingin menghancurkan kita".

Encik Lapid, yang akan mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri dalam masa dua tahun akan datang sebagai sebahagian daripada perjanjian ikut giliran, akur bahawa rancangannya belum lagi diluluskan secara rasmi oleh pemerintahan campuran yang terdiri daripada lapan parti di Israel tetapi menegaskan bahawa pelan itu mendapat sokongan Perdana Menteri Naftali Bennett.

JANJIKAN AIR, SISTEM KESIHATAN, PEKERJAAN

Pada tahap pertama rancangan itu, prasarana di Gaza - wilayah miskin dengan dua juta penduduk - akan menerima kerja-kerja naik taraf yang sangat-sangat diperlukan, kata Encik Lapid dalam ucapannya di Universiti Reichman di Herzliya.

"Sistem elektrik akan dibaiki, gas akan disediakan, sebuah loji penyulingan akan dibina, peningkatan yang ketara pada sistem jagaan kesihatan dan pembangunan semula prasarana perumahan dan pengangkutan akan dijalankan," katanya.

"Sebagai ganti, Hamas perlu mengikrarkan komitmennya kepada kedamaian jangka panjang," dedah Encik Lapid, sambil menambah bahawa masyarakat antarabangsa akan memainkan peranan dalam proses tersebut, terutamanya Mesir di selatan Gaza.

Sungguhpun demikian, beliau memberi amaran: "Sebarang pelanggaran oleh Hamas akan menghentikan atau melengahkan proses tersebut."

Sekiranya fasa pertama berjalan lancar, maka Gaza akan menyaksikan pembinaan sebuah pulau buatan di pesisirannya yang akan membolehkan pelabuhan, dan "perhubungan pengangkutan" dibina antara Gaza dengan Tebing Barat.

Encik Lapid selanjutkan berkata bahawa beliau sudah membentangkan rancangan itu kepada "rakan-rakan di dunia Arab," serta Amerika Syarikat, Rusia dan Kesatuan Eropah.

"Masih ada kerja yang perlu dilakukan, kami masih di tahap perancangan, tetapi jika pelan ini ada peluang untuk berjaya dan mendapat sokongan yang meluas, saya akan mencadangkannya kepada pemerintah sebagai pendirian rasmi Israel," katanya.

SERANGAN BERTERUSAN

Selang beberapa jam selepas ucapan Encik Lapid, keganasan baru tercetus. Tentera Israel menyatakan ia berjaya memintas roket yang dilancarkan dari Gaza ke selatan Israel, serangan ketiga dalam tempoh tiga hari.

Pada Isnin malam, Israel membalas serangan Hamas, dengan mengerahkan jet-jet pejuangnya membedil empat markas tentera Hamas dan sebuah terowong di wilayah Palestin itu, menurut kenyataan tentera Israel.

Tiada kecederaan dilaporkan, menurut pasukan AFP di Gaza.

Israel dan Hamas kali terakhir berperang secara besar-besaran pada Mei, iaitu yang keempat sejak 2008. Konflik tersebut berakhir dengan gencatan senjata yang disokong oleh Mesir.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia menyatakan pada hujung Mei bahawa serangan udara Israel ke atas wilayah tersebut mengakibatkan "prasarana awam punah ranah". 

- AFP/TQ/tq

Top