Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri Kesihatan UK Matt Hancock letak jawatan selepas perbuatannya langgar peraturan COVID-19 terbongkar

Menteri Kesihatan Britain Matt Hancock meletak jawatan pada Sabtu (26 Jun) selepas perbuatan beliau melanggar peraturan-peraturan COVID-19 negara terbongkar untuk berasmara dengan penolong kanannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Kesihatan UK Matt Hancock letak jawatan selepas perbuatannya langgar peraturan COVID-19 terbongkar

Matt Hancock di London, Britain pada 10 Mar 2021. (Gambar fail: John Sibley/Reuters)

Diterbitkan : 27 Jun 2021 08:29PM Dikemas Kini : 27 Jun 2021 08:32PM

LONDON: Menteri Kesihatan Britain Matt Hancock meletak jawatan pada Sabtu (26 Jun) selepas perbuatan beliau melanggar peraturan-peraturan COVID-19 negara terbongkar untuk berasmara dengan penolong kanannya.

Pengemudi bagi respons Britain dalam menangani pandemik, terutama sekali program vaksinasi kerajaan itu menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri Boris Johnson.

"Kami terhutang budi kepada mereka yang banyak berkorban dalam pandemik ini dan saya akur saya sudah mengecewakan mereka apabila saya bertindak dengan melanggar peraturan-peraturan (yang ditetapkan)," tulis Encik Hancock.

"Saya tidak mahu kehidupan peribadi saya mengalihkan perhatian (orang ramai) daripada tumpuan mengharungi krisis ini," tambah beliau.

Encik Johnson berkata beliau "berat hati" menerima peletakan jawatan setiausaha kesihatannya dan Encik Hancock patut berasa "sangat berbangga" dengan khidmatnya.

Perdana Menteri Johnson pada awalnya cuba mempertahankan Encik Hancock ketika beliau mengakui melanggar peraturan-peraturan jarak selamat sedangkan orang ramai digesa supaya mematuhinya.

Parti-parti pembangkang pula menuduh kerajaan Britain bersikap hipokrit dalam penguatkuasaan perintah berkurung sedangkan anggota masyarakat sering kali dikenakan denda.

Encik Hancock mengaku sudah mengecewakan orang ramai selepas akhbar The Sun menerbitkan gambar yang menunjukkan beliau sedang bercumbu-cumbuan dengan seorang wanita di pejabatnya pada 6 Mei. Gambar itu dipetik daripada rakaman CCTV dan diserahkan seorang tukang adu kepada agensi media berkenaan.

Parti Buruh Britain turut mempersoalkan tentang pelantikan wanita terbabit, bekas pelobi Gina Coladangelo, ke dalam pasukan penasihat tertinggi Encik Hancock.

Menyusuli peletakan jawatan Encik Hancock itu, bekas Menteri Kewangan Encik Sajid Javid akan menggantikan tempat selaku Menteri Kesihatan.

Dalam arena politik, Encik Javid turut pernah menjadi Menteri Ehwal Dalam Negeri semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri Theresa May. 

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan