Images
  • wedding generic
    (Gambar fail)

Menteri Indonesia saran fatwa galak kaya kahwin miskin

JAKARTA: Seorang menteri Indonesia pada Rabu (19 Feb) mencadangkan agar orang kaya berkahwin dengan golongan miskin sebagai satu cara mengurangkan kadar kemiskinan di negara itu.

"Apa yang berlaku jika orang miskin mencari orang miskin yang lain (untuk berkahwin)? Terdapat lebih banyak keluarga yang miskin," kata Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Muhadjir Effendy, menurut Jakarta Post.

"Ini suatu masalah yang dihadapi Indonesia," katanya.

Menteri itu berkata terdapat sekitar lima juta isi rumah miskin di Indonesia, yang membentuk 9.4 peratus daripada keseluruhan jumlah isi rumah Indonesia sebanyak 57.1 juta.

Jika mengambil kira isi rumah yang bertaraf hampir dalam golongan miskin, jumlahnya meningkat kepada 16.8 peratus atau kira-kira 15 juta isi rumah berpendapatan rendah, kata beliau.

Sehubungan itu, Encik Effendy mengesyorkan kepada Menteri Hal Ehwal Agama Fachrul Razi untuk mengeluarkan fatwa bahawa golongan miskin perlu mencari jodoh dalam kalangan orang kaya dan begitu juga sebaliknya, lapor Jakarta Post.

Tambahan lagi beliau mencadangkan pelaksanaan program pensijilan sebelum bernikah untuk pasangan yang tahap kewangan mereka belum stabil.

Golongan sedemikian perlu berdaftar bagi program pekerjaan yang dilancarkan Presiden Joko Widodo.

Program sedemikian kata Encik Effendy menyediakan latihan untuk meningkatkan kemahiran para peserta agar dapat mencari pekerjaan.

Ini sekali gus kata beliau akan membantu mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan keluarga baru di Indonesia.

Menurut Jakarta Post, Bank Dunia melaporkan baru-baru ini bahawa 45 peratus daripada rakyat Indonesia atau 115 juta orang, belum mencapai tahap kestabilan kewangan yang selamat dan gaya hidup kelas pertengahan.

Meskipun demikian, Indonesia sudah mencatat kemajuan dalam mengurangkan kadar kemiskinan kepada kurang 10 peratus dalam tempoh 15 tahun yang lalu.

Kelas pertengahannya juga meningkat bertambah dari 7 peratus kepada 20 peratus dalam tempoh yang sama.

Majlis Ulema Indonesia (MUI), menyambut baik gagsan Encik Effendy itu.

MUI merupakan antara pertubuhan Islam yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan fatwa.

Setiausaha agungnya, Anwar Abbas berkata ia melambangkan semangat membantu satu sama lain, menurut laman berita Kumparan.

"Terdapat banyak keluarga miskin dan kadang-kadang ada janda yang ditinggalkan oleh suami mereka. Mereka perlu membesarkan anak sambil mencari nafkah.

"Sekiranya ada orang kaya yang berkenan dengannya, dan suka sama suka, maka baguslah," katanya.

Beliau menambah: "Keluarga miskin akan dinaikkan taraf ekonomi mereka dan jumlah golongan miskin akan berkurangan."

Cadangan menteri itu mempunyai dua manfaat, kata Encik Abbas.

"(Pertama), kemiskinan akan dikurangkan. Kedua, jika direalisasikan, kekayaan tidak akan hanya kekal dikongsi (dalam kalangan orang kaya)."

- Agensi berita/TQ/tq

Top