Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri Haji Saudi alu-alukan rombakan visa umrah dan melancong

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Mohammad Salih Bentin, menzahirkan penghargaan kepada Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman kerana mengeluarkan dekri bagi menyusun semula visa-visa lawatan, Haji dan transit. Dekri tersebut termasuk pembatalan yuran visa bagi umrah berulang.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Sep 2019 04:27PM Dikemas Kini : 09 Sep 2019 11:40PM

JEDDAH: Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Mohammad Salih Bentin, menzahirkan penghargaan kepada Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman kerana mengeluarkan dekri bagi menyusun semula visa-visa lawatan, Haji dan transit. Dekri tersebut termasuk pembatalan yuran visa bagi umrah berulang.

Laporan Arab News pada Ahad (8 Sep) menukil Dr Bentin sebagai berkata: "Dekri diraja adalah sebahagian daripada iltizam kepimpinan untuk mempermudahkan umat Islam dari merata dunia untuk melaksanakan Haji dan Umrah."

Beliau menambah bahawa dekri itu mencerminkan kesediaan Arab Saudi untuk menyambut lebih ramai jemaah selepas selesainya projek-projek prasarana besar dan perluasan khidmat di Makkah, Madinah dan tempat-tempat suci.

YURAN VISA UMRAH BERULANG DIMANSUHKAN

Pada Februari 2016, kerajaan Arab Saudi mengumumkan yuran 2,000 riyal (S$730) bagi jemaah yang menunaikan umrah atau haji buat kali kedua atau seterusnya, bertujuan memudahkan para jemaah haji dan umrah kali pertama.

Agensi-agensi haji dan umrah (GSA) yang dihubungi BERITAmediacorp pada waktu itu berkongsi bahawa mereka yang melakukan umrah buat kali kedua atau seterusnya membentuk sekitar 30 hingga 50 peratus daripada jumlah keseluruhan jemaah mereka dalam setahun.

Namun peraturan itu dikemas kini pada September 2016, dan dilaksanakan ke atas para jemaah yang menunaikan umrah berulang dalam satu tahun Hijrah yang sama.

Ini bermakna, sekitar 5 peratus sahaja jemaah umrah Singapura - yang menunaikan umrah berulang dalam setahun - terjejas oleh yuran tambahan itu.

Pada awal 2017 pula, syarikat-syarikat GSA Singapura diberi pengecualian daripada perlu membayar yuran visa tambahan itu bagi para pegawainya yang menyertai umrah kali kedua dan seterusnya dalam setahun.

MATLAMAT 30 JUTA JEMAAH UMRAH JELANG 2030

Arab News menukil Dr Bentin pada Ahad (8 Sep) sebagai berkata, perubahan peraturan visa yang terbaru ini menyokong usaha mencapai salah satu matlamat terpenting Visi 2030 kerajaan Arab Saudi untuk menerima 30 juta jemaah umrah menjelang tahun itu.

Menurutnya lagi, matlamat ini akan dicapai seiring dengan usaha pemerintah menyediakan khidmat cemerlang supaya para jemaah dapat menjalankan ibadah dengan selesa dan aman.

Awal minggu ini, Arab News turut melaporkan tentang perubahan berhubung visa kunjungan ke Arab Saudi secara amnya.

Skim yang akan diumumkan 27 September ini dijangka membuka pintu negara itu kepada para pengunjung dari 50 negara, sebagai sebahagian usaha kerajaan itu merancakkan industri pelancongannya dan mempelbagaikan ekonomi agar kurang bergantung kepada hasil minyak.

Sumber : Agensi berita/BERITAmediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan