Images
  • dr mujahid
    Gambar fail Dr Mujahid Yusof Rawa. (Gambar: Bernama)

Menteri di Jabatan Perdana Menteri senada Anwar Ibrahim: Rasuah juga boleh berlaku dalam PH

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia Mujahid Yusof menggesa sokongan diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meskipun tindakan diambil terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Ketika ditemui para wartawan semalam (17 Mei), Encik Mujahid berkata beliau bersetuju dengan pendapat Presiden PKR, Encik Anwar Ibrahim bahawa rasuah juga boleh berlaku di kalangan pemimpin PH, menurut Malaysiakini.

"Saya tidak mengatakan bahawa rasuah berlaku di sesetengah pihak sahaja, tetapi ia boleh berlaku kepada sesiapa, termasuk pemimpin Pakatan Harapan. Jadi, jika ada bukti seperti itu, biarkan undang-undang menentukanmya.

"Kita sudah berikan SPRM peluang besar untuk mengambil tindakan tanpa gentar. Kita perlu sokong SPRM, kita tidak boleh berat sebelah apabila berlaku rasuah. Salah untuk bersikap berat sebelah," tambah Anggota Parlimen Parit Buntar itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis berbuka puasa dan program Kembara Rahmah Nur Ramadan di masjid Maqbul, Teluk Kumbar Pulau Pinang semalam.

Malaysiakini melaporkan bahawa semalam (17 Mei), Encik Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson mendakwa bibit-bibit mempamerkan limpahan kekayaan sudah mula menonjol dalam kalangan pimpinan PH.

“Bukan saja dalam BN, PH pun dah nampak bibit-bibit sedemikian. Luar biasa,” katanya.

Encik Anwar berkata, mungkin akan timbul kritikan sinis yang mengatakan SPRM tidak berani mengambil tindakan terhadap pemimpin yang berkuasa, lapor Malaysiakini lagi.

Mengulas lanjut, Encik Mujahid berkata kerajaan sedar bahawa amalan rasuah tidak terbatas kepada kumpulan atau individu tertentu.

"Ia berlaku dalam semua sektor dan kumpulan, sama ada mereka pegawai kerajaan atau orang awam.

"Kita sangat jelas apabila kita melancarkan pelan antirasuah nasional, terdapat beberapa sektor yang terdedah kepada rasuah seperti badan kehakiman, jabatan penguatkuasaan dan perolehan, parti politik, agensi kerajaan, semuanya terdedah kepada rasuah bagi mereka yang tidak dapat mengawal diri mereka," katanya.

- BERNAMA/NA/na

Top