Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menteri Besar Melaka jawab khabar angin tentang 'penjualan' Pulau Besar kepada pihak di S'pura

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri sedang dalam proses menjual Pulau Besar kepada sebuah syarikat swasta Singapura seperti yang tular di laman sosial Facebook pada 4 Disember lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Menteri Besar Melaka jawab khabar angin tentang 'penjualan' Pulau Besar kepada pihak di S'pura

Pulau Besar Melaka. (Gambar: Pulau Besar Melaka/Facebook)

Diterbitkan : 12 Dec 2019 11:18PM Dikemas Kini : 12 Dec 2019 11:25PM

MELAKA: Ketua Menteri Melaka Adly Zahari menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri sedang dalam proses menjual Pulau Besar kepada sebuah syarikat swasta Singapura seperti yang tular di laman sosial Facebook pada 4 Disember lalu.

Menurut beliau, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) - yang hanya memiliki 20 peratus kawasan di pulau itu - tidak pernah bercadang menjualnya kepada mana-mana pihak namun sebaliknya membangunkan pulau tersebut bagi kegiatan pelancongan pada tahun hadapan.

"Sebahagian Pulau Besar iaitu kira-kira 80 peratus dimiliki Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah dan tidak timbul isu kerajaan negeri mahu menjual pegangan yang ada. Di pihak Tan Sri Wan Azmi setakat ini, kita tidak mempunyai apa-apa maklumat dan ia di luar pengetahuan kita," katanya.

Encik Adly menambah perbincangan dengan pemilik terbesar pulau berkenaan masih dijalankan bagi memastikan beliau boleh membangunkan tempat itu dengan kerjasama PKNM dan MAIM.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara bagi mereka bentuk pelan pembangunan industri pelancongan di Pulau Besar menerusi peruntukan yang disalurkan Kementerian Wilayah Persekutuan sebanyak RM0.5 juta (S$163,000).

Awal dari ini, tular di Facebook tentang Pulau Besar sedang dalam proses dijual kepada syarikat swasta Singapura dan pusat tahfiz yang terdapat di pulau tersebut pula akan dipindahkan ke Alor Gajah.

Sementara itu, Encik Adly berkata kerajaan negeri bersetuju untuk menerima penyerahan tunai dan asset berbentuk hartanah milik Dunia Melayu Dunia Islam di MDI dengan anggaran keseluruhan berjumlah RM144 juta (S$47 juta).

Encik Adly juga menyentuh tentang langkah kerajaan negeri mengekang kemasukan virus polio.

Jabatan Kesihatan Melaka katanya akan berbincang mengenai keperluan melakukan saringan di pintu masuk negeri tersebut bagi mengekang penularan virus polio.

"Kita akan berbincang tentang model dan kaedah kawalan atau saringan yang boleh dilakukan sebagai persediaan memandangkan Melaka merupakan sebuah negeri pelancongan dan menerima banyak kemasukan pelancong," ujar beliau.  

Sumber : Bernama/Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan