Images
  • menteri besar johor
    Menteri Besar Johor, Osman Sapian. (Gambar fail: Howard Low)

Menteri Besar Johor pertahankan lawatan ke kapal M'sia di perairan S'pura

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Osman Sapian hari ini (17 Jan) mempertahankan keputusan beliau untuk melawat sebuah kapal milik Malaysia yang berlabuh di perairan Singapura, sambil menambah bahawa tindakan beliau menerima sokongan daripada para pemimpin akar umbi.

Berikutan "lawatan tanpa kebenaran" Encik Osman ke kapal MV Pedoman pada 9 Januari, Singapura memutuskan untuk menangguhkan rundingan-rundingan jawatankuasa bersama menteri mengenai Iskandar Malaysia.

Menurut laporan akhbar Malay Mail, Encik Osman berkata beliau tidak risau mengenai kritikan terhadapnya.

"Sehingga hari ini, saya masih menerima video menerusi WhatsApp daripada beberapa pemimpin divisyen Parti Pribumi Bersatu dan ketua-ketua kampung yang menyatakan sokongan.

“Mungkin dalam sehari dua lagi, lebih ramai orang akan beri sokongan berhubung isu itu,” katanya di luar satu acara di Johor Darul Ta’zim 2019, hari ini (17 Jan).

Encik Osman menambah bahawa beliau "secara tidak rasmi menerima restu" daripada Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah dan timbalannya sebelum melakukan lawatan ke kapal tersebut.

"Mereka tidak menghalang saya daripada melawat kawasan itu," katanya seperti yang dipetik oleh Malay Mail.

Encik Osman menarik perhatian bahawa beliau bukan sahaja Menteri Besar Johor, tetapi juga menyandang jawatan sebagai pengerusi majlis keselamatan negeri itu. Peranannya dalam majlis berkenaan memerlukan beliau untuk memahami pertikaian perairan tersebut, katanya.

Singapura dan Malaysia terlibat dalam pertikaian ruang udara dan maritim.

Kapal-kapal milik kerajaan Malaysia sudah berkali-kali mencerobohi perairan wilayah Singapura sejak beberapa bulan kebelakangan ini, selepas Malaysia meluaskan had pelabuhan Johor Bahru pada Oktober, sekaligus mencerobohi perairan Singapura dekat Tuas.

Singapura mengemukakan bantahan mengenai had pelabuhan dan pergerakan kapal-kapal tersebut. Kementerian Pengangkutan (MOT) juga meluaskan had pelabuhan Singapura dekat Tuas pada 6 Disember sebagai tindak balas.

Pada 8 Januari, kedua-dua negara bersetuju untuk menubuhkan sebuah kumpulan kerja bagi mengkaji dan membincangkan hal-hal perundangan dan operasi berhubung pertikaian maritim itu bagi meredakan ketegangan dan menjadikannya asas untuk meneruskan perbincangan dan rundingan lanjut.

Bagaimanapun pada keesokan harinya, Encik Osman didapati melakukan "lawatan tanpa kebenaran" ke kapal Pedoman dalam "satu tindakan provokatif" yang bercanggah dengan semangat perjanjian kedua-dua negara untuk menghuraikan isu-isu dua hala secara tenang dan membina, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Pada hujung minggu lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Azmin Ali mengadakan pertemuan dengan para menteri Singapura untuk membincangkan mengenai isu-isu dua hala.


Semasa menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen pada Isnin (14 Jan), Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan berkata kedua-dua pihak mesti bertindak secara jujur untuk menangani isu-isu dua hala.

Dr Balakrishnan menambah "lawatan Encik Osman yang didedahkan kepada umum" itu menjejas semangat muhibah dan kepercayaan yang diperlukan untuk kerjasama lanjut antara kedua-dua negara, serta menyebabkan Singapura dan Malaysia tidak dapat meneruskan rundingan jawatankuasa bersama menteri bagi Iskandar Malaysia.

"Kami akan sentiasa mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menjaga kepentingan kami dan mana-mana negara yang berurusan dengan Singapura tidak boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya. Akan ada akibatnya," kata Dr Balakrishnan semasa menjawab pertanyaan mengenai langkah yang boleh diambil oleh Singapura sekiranya terdapat pencerobohan lagi.

Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen juga berkata di Parlimen pada Selasa (15 Jan) bahawa meskipun agensi-agensi keselamatan Singapura mempunyai keupayaan untuk memaksa kapal-kapal kerajaan Malaysia yang menceroboh perairannya supaya beredar, mereka diarahkan buat masa ini untuk "menahan diri dan mengelakkan daripada meningkatkan ketegangan".


Pada Rabu (16 Jan), Encik Azmin memberitahu Mediacorp bahawa hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia adalah "amat positif".

Encik Azmin menarik perhatian bahawa terdapat "isu-isu yang harus kami tangani", namun beliau tidak mahu "sebarang kenyataan tertentu oleh mana-mana pihak" menjejas objektif utama kedua-dua pihak.

Pada hari yang sama, Encik Saifuddin juga berkata Singapura dan Malaysia mempunyai hubungan dua hala yang baik meskipun perbincangan tentang beberapa hal perlu terus diadakan.

"Hubungan kami dengan Singapura kekal baik. Meskipun terdapat beberapa isu, kedua-dua pihak saling berbincang dan itu pada saya, sangat penting."

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif, Sheikh Umar Bagharib Ali, memuji lawatan Encik Osman ke kapal Pedoman sebagai satu langkah patriotik.

"Apa yang dilakukan oleh Menteri Besar Johor adalah demi cinta terhadap negeri ini, negara dan juga kedaulatannya," kata beliau hari ini (17 Jan), sambil menambah bahawa lawatan tersebut bukan provokasi.  

- CNA/AI/ai

Top