Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Mengenali adat dan tradisi yang menjadi kebanggaan pulau Belitung

Dua syarat bagi pasangan yang ingin berkahwin - bakal suami perlu memiliki sebuah rumah manakala pasangannya pula harus sudah khatam Al-Quran.

Anggaran Waktu Membaca:
Mengenali adat dan tradisi yang menjadi kebanggaan pulau Belitung

Penduduk Belitung masih giat melestarikan budaya dengan harapan dapat memperkenalkannya kepada pelancong.

BERITAmediacorp: Dua syarat bagi pasangan yang ingin berkahwin - bakal suami perlu memiliki sebuah rumah manakala pasangannya pula harus sudah khatam Al-Quran.

Selepas diijab kabul, mempelai hanya mendapat privasi selama seminggu sahaja. Itu pun, dalam rumah yang tidak mempunyai satu bilik sama sekali. Hanya satu ruang kecil yang dibatasi dengan sekadar sehelai langsir di ruang utama yang dikongsi seisi keluarga.

Pasti ini sesuatu yang janggal bagi ramai, terutama sekali para pelancong bukan asal Indonesia. Namun, itulah adat resam masyarakat di sebuah pulau kecil yang terletak di laluan Sumatera.

Meskipun pulau ini sangat kecil dan didiami sekitar 400,000 penduduk sahaja, ia kaya dengan sejarah, adat dan tradisi yang semestinya mempunyai keunikan tersendiri. Lebih menarik lagi, semua itu bukan sahaja dibukukan, tetapi 'dipaparkan' kepada orang ramai dalam bentuk sebuah rumah adat.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Gemar menyelongkar dan menghayati budaya masyarakat lain? Perjalanan dari Singapura ke pulau ini hanya mengambil masa sekitar sejam sahaja!

RUMAH PANGGUNG BANGSAWAN

Ketika Indonesia masih lagi di bawah penjajahan Belanda, setiap kampung mempunyai seorang 'kepala desa' yang terdiri daripada golongan bangsawan.

Golongan ini dahulu tinggal dalam sebuah rumah yang disebut-sebut sebagai 'Rumah Panggong' atau 'Rumah Gede'.

Seperti negara lain di seluruh pelusuk dunia, pulau kecil ini tidak terlepas daripada pembangunan dan pemodenan. BERITAmediacorp difahamkan 'Rumah Panggong' seperti ini tidak lagi wujud di pulau tersebut.

Tetapi, sebuah badan pariwisata tempatan memutuskan untuk membina replika sebuah rumah bangsawan yang kemudian dipanggil Rumah Adat Belitung, bagi memikat para pelancong dan memberi peluang kepada mereka untuk menghayati adat resam tempatan.

Rumah Adat Belitung itu mula dibina pada tahun 2006 dan dirasmikan pada 2009.

CIRI-CIRI RUMAH ADAT BELITUNG

Rumah Panggong Belitung lazimnya terdiri daripada lima bahagian - sebuah teres, ruang utama, loss (bahagian antara ruang utama dan dapur), dapur dan tempat penjaga rumah.

Tuan rumah lazimnya menerima tetamu mereka di teres (bahagian depan rumah).

Ruang utama pula merupakan tempat di mana keluarga mengadakan pebagai kegiatan bersama - daripada mengaji, bermain sehinggalah tidur. Ia besar dan luas, berbentuk segi empat.

Ibu Nunik Febriante, pengurus Rumah Adat Belitung menjelaskan lebih lanjut kepada BERITAmediacorp bahawa mudah untuk mengenal pasti sebuah rumah bangsawan.

"Rumah bangsawan ada lebih dari tiga anak tangga di hadapan rumah, ada yang lebih, tapi dalam angka ganjil," kata Ibu Nunik.

ISTIADAT PERKAHWINAN, MAKAN BERDULANG

Rumah Adat Belitung tidak sahaja dibangunkan sebagai replika sebuah rumah bangsawan. Ia turut dijadikan sebagai sebuah muzium di mana barang-barang tradisional dipamerkan.

Misalnya, anda akan dapat melihat perlengkapan pernikahan seperti baju tradisional Belitung, hantaran daripada kedua-dua belah pihak pengantin dan ruang beradu yang dikhususkan untuk mempelai selama seminggu.

Ya, hanya seminggu sahaja bagi pasangan yang baru berkahwin untuk mendapat privasi! Memandangkan Rumah Panggong tidak mempunyai sebarang kamar, hanya satu langsir berwarna-warni yang dipanggil 'puade' akan dipasang.

'Puade' dihasilkan menggunakan helaian kain berwarna cerah. Sebelum bernikah, langsir itu akan diikat-ikat bagi menyerupai buah pandan laut. Namun, selepas bernikah, apabila pasangan berada dalam ruang tersebut, ikatan pada langsir itu akan dilepaskan dan langsir itu akhirnya akan dilabuhkan.

"Sekarang sudah tidak ada lagi yang mengamalkan itu semua," kata Ibu Nunik sebagai menjawab BERITAmediacorp.

"Sudah tidak ada hutan. Lelaki juga tidak usah harus ada rumah sendiri. Sekarang kontrakan (rumah sewa) di mana-mana," seloroh beliau.

Menariknya, jika pelancong terdahulu membuat tempahan ke Rumah Adat Belitung, mereka berpeluang untuk merasakan masakan tradisional yang dihidangkan di atas dulang.

Semuanya disiapkan dengan terperinci sekali. Hidangan-hidangan ditentukan mengikut lauk-pauk yang dimasak. Kuah yang dimasak pula akan diletakkan di tengah dulang. Ulam dan pencuci mulut melengkapi sajian yang dihidangkan.

Ketika anda sedang menikmati jamuan itu pula, akan ada alunan irama gambus yang dimainkan untuk menghiburkan para tetamu.

TARIAN & PANTUN

Sebenarnya terdapat banyak persamaan antara masyarakat Belitung dengan masyarakat Melayu Singapura.

Sebagai contoh, sebaik sahaja anda tiba di pulau itu, anda akan menyedari rakyat tempatan tidak berbicara dalam Bahasa Indonesia, tetapi Bahasa Melayu!

Baju tradisionalnya pula persis seperti baju kurung Melayu.

Ketika BERITAmediacorp menyaksikan sendiri tarian tradisional yang dipersembahkan kepada rakan-rakan media, gerak-geri tarian serupa tarian Melayu - ada gerakan kaki melangkah dan melompat, gerakan tangan, badan, menunduk dan mengayunkan badan serta berlenggang.

Malah, ternyata mereka juga sering jual beli pantun.

PERMAINAN KUNO SARAT NUANSA MISTIK

Kemungkinan besar, hanya di pulau inilah, anda dapat melihat sendiri 'hantu' berlawan dengan manusia.

Pada satu ketika dahulu, seorang nelayan kononnya mendapati beliau sukar mendapatkan tangkapan laut. Seringkali bubunya kosong sehinggalah satu hari, beliau meminta bantuan seorang dukun. Akhirnya, roh jahat yang menjadi dalang nasib malangnya terperangkap dalam bubu yang digunakan.

Tidak dapat dipastikan butiran-butiran terperinci di sebalik kisah itu. Yang nyata, masyarakat tersebut memilih untuk mempercayai akan unsur mistik di sebalik kisah itu hingga ke hari ini sehingga timbul permainan tradisional 'Antu Bubu'.

Perlengkapan utama dalam permainan tersebut adalah bubu (alat tangkap ikan tradisional). Sebelum permainan dimulakan, seorang pawang akan menjalankan satu ritual untuk memanggil roh yang dipercayai akan masuk ke dalam bubu berkenaan.

Orang yang bermain permainan itu kemudian akan berusaha untuk menumpaskan 'Antu Bubu' dengan merosakkan atau memecahkan bubu tersebut, jelas Ketua Dinas Kebudayaan dan Pariwisata (Disbudpar) Belitung Timur, Encik Evi Nardi.

Satu lagi permainan tradisional masyarakat Belitung adalah 'beripat'. Jika orang Melayu bersilat, mereka beripat. Bezanya, mereka menggunakan rotan dan bertarung untuk memukul punggung lawan.

"Kalau pelancong ingin lihat, bisa diatur," kata Encik Evi Nardi.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan