Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Menara KL, Petronas 'hilang' dari pemandangan

Beberapa mercu tanda di ibu negara Malaysia 'hilang' daripada pemandangan mata pada tengah hari ini (11 Sep) ekoran mutu udara rendah akibat fenomena jerebu.

Anggaran Waktu Membaca:
Menara KL, Petronas 'hilang' dari pemandangan

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 11 Sep 2019 02:23PM Dikemas Kini : 11 Sep 2019 02:26PM

KUALA LUMPUR: Beberapa mercu tanda di ibu negara Malaysia 'hilang' daripada pemandangan mata pada tengah hari ini (11 Sep) ekoran mutu udara rendah akibat fenomena jerebu.

Tinjauan permandangan dari Wisma Bernama mendapati dua struktur tertinggi negara, Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas yang masing-masing terletak kira-kira 3 kilometer dan 6 kilometer dari bangunan tersebut, sukar dilihat dengan mata kasar.

Pemerhatian turut mendapati mutu dan jarak penglihatan pada sebelah tengah hari lebih terhad berbanding pada pagi tadi akibat jerebu yang semakin menebal.

Tinjauan turut mendapati orang awam mula menggunakan pelitup ketika berada di luar premis. 

Kedai runcit dan kedai serbaneka di ibu negara juga mula meletakkan pelitup muka di kaunter pembayarannya untuk memudahkan pengguna mendapatkan alat pelindungan pernafasan itu.

Berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua kawasan di Kuala Lumpur mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Batu Muda (136) dan Cheras (139), manakala Putrajaya pula pada bacaan 153.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 adalah sederhana, 101 ke 200 adalah tidak sihat, 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat dan 300 ke atas pula adalah bahaya.

Sementara itu, di Selangor, enam kawasan menunjukkan udara di tahap tidak sihat pada pukul 7.00 pagi tadi.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, bacaan IPU di Shah Alam adalah 133, Klang (121), Banting (120), Johan Setia, Klang (158), Petaling Jaya (135) dan Kuala Selangor (106).

Di Perak, Seri Manjung di Lumut merupakan kawasan pertama di negeri itu mencatatkan bacaan IPU tahap tidak sihat setakat pukul 10.00 pagi ini.

Menurut laman web JAS, bacaan IPU di Seri Manjung adalah 123.

Keadaan jerebu di Sarawak semakin teruk hingga 2 sekolah terpaksa ditutup pada 22 Ogos 2019. (Gambar: BERNAMA)

Keadaan jerebu di Sarawak semakin teruk hingga 2 sekolah terpaksa ditutup pada 22 Ogos 2019. (Gambar: BERNAMA)

Di Negeri Sembilan, Nilai, Seremban dan Port Dickson yang mencatatkan bacaan Indeks IPU tidak sihat sejak semalam terus merekodkan peningkatan bacaan IPU hari ini.

Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU setakat pukul 10.00 pagi ini di Nilai merekodkan IPU 155 berbanding 152 pada Selasa, Seremban 129 (121 pada Selasa) manakala Port Dickson 113 (105 pada Selasa).

Di Sarawak, setakat pukul 8.00 pagi tadi, hanya tiga kawasan di negeri tersebut mencatatkan IPU tidak sihat dengan bacaan di bawah 200 iaitu Sri Aman (170), Kuching (156) dan Samarahan (140).

Sepuluh kawasan lagi merekodkan bacaan IPU sederhana dengan Sibu (80), S.K Baram (73), Mukah (78), Miri (74), Bintulu (85), Samalaju (78), Kapit (67), Limbang (55), Sarikei (75) dan ILP Miri (74).

Semua sekolah yang ditutup di sembilan daerah di Sarawak akibat jerebu semalam dibuka semula seperti biasa hari ini. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan