Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Memilih antara AS dengan China adalah sukar, kata PM Lee

Jika hubungan antara Amerika Syarikat dengan China tidak stabil dan tidak baik, negara-negara Asia akan menghadapi tekanan untuk memihak kepada salah satu negara dan ini satu pilihan "amat tidak menyenangkan." Demikian kata PM Lee Hsien Loong dalam wawancara bersama CNN pada Ahad (6 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Oct 2019 10:27AM Dikemas Kini : 07 Oct 2019 09:16PM

SINGAPURA: Jika hubungan antara Amerika Syarikat dengan China tidak stabil dan tidak baik, negara-negara Asia akan menghadapi tekanan untuk memihak kepada salah satu negara dan ini satu pilihan "amat tidak menyenangkan." Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam wawancara bersama CNN yang disiarkan pada Ahad (6 Okt).

"Ia bukan satu pelibatan baik sekarang, tetapi (Amerika Syarikat) tidak menarik diri daripadanya. Saya fikir apa yang kami ingin lihat di Asia adalah Amerika Syarikat terlibat aktif bukan sahaja dengan China tetapi juga dengan negara-negara Asia yang lain," kata Encik Lee.

Menjawab pertanyaan hos CNN Fareed Zakaria tentang apakah yang akan dilakukan negara-negara Asia jika mereka perlu memilih, Encik Lee berkata rakan-rakan kongsi dan sekutu Amerika Syarikat dalam perjanjian - khususnya Jepun, Korea Selatan, Filipina, Australia, New Zealand dan Thailand - tidak akan gembira.

"Kesemuanya mempunyai China sebagai rakan perdagangan terbesar. Jika anda meminta mereka untuk memilih dan katakan saya mesti memutuskan hubungan dengan rakan kongsi saya yang terbesar, saya rasa anda akan meletakkan mereka dalam kedudukan yang sukar," ujar Encik Lee sambil menambah meskipun Singapura bukan sekutu Amerika Syarikat, ia mempunyai talian perdagangan terbesar bersama China.

Sebelum ini, Encik Lee berkata Singapura akan bertindak mengikut keperluan masing-masing apabila menangani konflik teknologi dan ekonomi antara kedua-dua kuasa dunia itu.

Semasa ditanya tentang kesan perang perdagangan terhadap Singapura dengan kedudukannya sebagai rakan kongsi teguh Amerika Syarikat serta pertalian ekonominya yang rapat dengan China, Encik Lee berkata: "Kami melihatnya sebagai satu masalah untuk kami, tetapi sebenarnya, ia adalah masalah untuk seluruh dunia."

"Kami semua bergantung pada hubungan stabil Amerika Syarikat-China, kerjasama AS-China yang semakin rapat, pelaburan, perdagangan serta aliran bakat dan idea. Dengan apa yang sedang berlaku, trend baik itu terganggu bahkan beralih arah.

"Saya fikir ini tidak baik untuk dunia."

KONFLIK TEKNOLOGI

Konflik itu meningkat secara mendadak pada Mei apabila Amerika Syarikat mengenakan larangan perdagangan terhadap syarikat gergasi telekomunikasi Huawei, yang juga merupakan salah satu pemain terbesar dalam sistem telefon generasi kelima sekarang.

Menurut Encik Lee, dunia teknologi bergerak ke arah perpecahan - kehilangan kepercayaan pada kedua-dua pihak boleh menimbulkan kesangsian tentang mengapa satu pihak harus membenarkan sistem operasi, cip elektronik dan teknologi sistem operasi satu pihak lain, untuk menguasai ekonomi mereka sendiri.

"Oleh itu, jika anda mengikut cara ini, anda akhirnya bercelaru tentang pelbagai perkara dari segi teknologi dan sistem."

Menjawab pertanyaan tentang bagaimana negara-negara akan bertindak terhadap tekanan untuk memilih sistem Amerika Syarikat atau China, Encik Lee menarik perhatian bahawa tekanan itu datang daripada AS, yang memohon negara-negara lain termasuk sekutunya untuk mengelak daripada memilih China ketika memilih sistem teknologi yang harus digunakan.

Meskipun ada yang bekerjasama dengan Amerika Syarikat, beberapa negara lain memberi kesimpulan ia satu 'permintaan besar", kata Encik Lee.

HONG KONG

Apabila ditanya berhubung pergolakan di Hong Kong, Encik Lee berkata beliau berasa sedih melihat situasi di Hong Kong kerana bandar itu memiliki banyak bakat, perusahaan dan potensi.

"Mereka betul-betul di hadapan pintu China dan China menjadi penyokong untuk mereka, membolehkan mereka tumbuh dan mengatasi banyak detik ekonomi yang sukar. Pada masa yang sama, mereka sebahagian daripada China dan ini satu perubahan psikologi besar yang tidak mudah bagi rakyat mereka membiasakan diri," kata Encik Lee.

"Pada asasnya, ia persoalan tentang harapan bagi masa depan golongan muda. Jika ia tidak ditangai secara menyeluruh, adalah sukar untuk mengatasinya," ujar Encik Lee lagi.

Encik Zakaria kemudian bertanya jika Encik Lee terkejut bahawa China belum meleraikan bantahan itu secara paksa.

Encik Lee berkata beliau tidak terkejut sambil menarik perhatian bahawa China kini berhadapan dengan masalah yang rumit: "Jika (China) lakukan kesilapan, (mereka) boleh menjadikan perkara itu jauh lebih teruk. Saya berharap mereka menyedari akan hal itu.

"Mereka berharap penduduk Hong Kong boleh menyelesaikannya tetapi Ketua Eksekutif mempunyai tugas yang sangat sukar."

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan