Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Melbourne hadapi lebih banyak tunjuk perasaan bantah perintah berkurung COVID-19

Polis Melbourne, bandar kedua terbesar di Australia, bersiap sedia untuk berhadapan dengan tunjuk perasaan hari keempat pada Khamis (23 Sep) bagi membantah perintah berkurung.

Anggaran Waktu Membaca:
Melbourne hadapi lebih banyak tunjuk perasaan bantah perintah berkurung COVID-19

Keadaan tunjuk perasaan di Melbourne, Australia pada 22 Sep 2021 yang membantah perintah berkurung. (Gambar: AFP/Con Chronis)

Diterbitkan : 23 Sep 2021 11:01AM Dikemas Kini : 23 Sep 2021 11:09AM

SYDNEY: Polis Melbourne, bandar kedua terbesar di Australia, bersiap sedia untuk berhadapan dengan tunjuk perasaan hari keempat pada Khamis (23 Sep) bagi membantah perintah berkurung. Ini setelah lebih 200 penangkapan dibuat sehari sebelumnya sedang kes COVID-19 di seluruh wilayah Victoria mencatat rekod harian.

Beratus-ratus penunjuk perasaan berhimpun di jalan-jalan raya bandar dengan lima juta penduduk itu. Bantahan berlaku sejak para pegawai memerintahkan pada awal minggu ini penutupan tapak-tapak pembinaan selama dua minggu dan mewajibkan vaksin ke atas para pekerja binaan untuk menghadkan penularan koronavirus.

Polis menggunakan penyembur lada benggala dan peluru busa pada Rabu untuk membubarkan penunjuk perasaan yang berhimpun di sebuah tugu peringatan bagi menghormati para anggota askar peperangan. Hal ini mendorong kumpulan veteran dan beberapa anggota politik untuk bersuara menentang penggunaan tugu itu sebagai tempat perhimpunan.

"Ia tidak menghormati warga Australia yang telahpun berkorban nyawa dan saya harap semua orang yang terlibat dalam tingkah laku memalukan itu berasa malu," kata Perdana Menteri Scott Morrison kepada para wartawan di Washington DC pada Khamis.

Sedang pihak berkuasa bersiap siaga untuk menghadapi lebih banyak tunjuk perasaan, Victoria melaporkan 766 kes tempatan baru. Jumlah itu memecah rekod sebanyak 725 kes baru yang dicatatkan sebelum ini pada 5 Ogos 2020. Selain itu, empat kematian baru akibat koronavirus turut dilaporkan. Pada Rabu, Victoria melaporkan 628 kes baru.

Australia sedang bergelut dengan gelombang ketiga penularan jangkitan varian Delta di dua bandar terbesarnya, Sydney dan Melbourne, serta ibu kotanya Canberra. Ini memaksa hampir separuh daripada 25 juta penduduk negara itu untuk hidup di bawah sekatan duduk di rumah yang ketat.

Para pegawai berikrar untuk melonggarkan perintah berkurung apabila 70 peratus penduduk dewasa lengkap divaksin, yang dijangka berlaku pada bulan depan. Sekitar 55.5 peratus individu berusia 16 tahun dan ke atas sudah divaksin sepenuhnya di New South Wales manakala di Victoria, bilangannya adalah kira-kira 45 peratus.

Jumlah keseluruhan kes di Australia mencecah 90,000, dengan sekitar 60,000 kes dicatatkan sejak pertengahan Jun apabila kes pertama melibatkan varian Delta dikesan di Sydney. Jumlah kematian berada bawah paras 1,200, namun lebih rendah jika dibandingkan dengan banyak negara lain yang setanding. 

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan